UUM bantu syarikat minuman Austria peroleh sijil halal

Risyawati (tengah) bersama kakitangan syarikat Knorr-Kohlhofer KG baru-baru ini.
Risyawati (tengah) bersama kakitangan syarikat Knorr-Kohlhofer KG baru-baru ini.
A
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu syarikat pengeluar minuman berasaskan madu asli di Kinberg, Austria memperoleh sijil halal baru-baru ini.

Pakar teknikal halal dari UUM, Dr Risyawati Mohamed Ismail berkata, dalam kerjasama itu, beliau membantu menaiktaraf syarikat Knorr-Kohlhofer KG bagi memenuhi spesifikasi halal mengikut piawaian antarabangsa yang mengambil masa selama seminggu.

"Saya telah membentuk sistem dan operasi pengilangan halal di fasiliti sedia ada Knorr-Kohlhofer KG seterusnya memberi latihan intensif dan memantau perjalanan operasi pembuatan produk bagi memastikan syarikat tersebut patuh kepada Halal Assurance System (HAS) yang merupakan keperluan wajib untuk memperoleh pensijilan halal," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, Knorr-Kohlhofer ialah syarikat pengeluar minuman berasaskan madu asli Austria yang berkualiti tinggi dan produk mereka telah dipasarkan secara runcit di pasar raya di sekitar Austria.

"Bagi mendapatkan pensijilan halal, syarikat di Austria perlu melalui proses pensijilan halal yang ketat dan lulus audit pensijilan daripada Islamic Information Documentation and Certification (IIDC) yang merupakan Certification Body (CB) yang diiktiraf oleh Jakim, Malaysia.

"Syarikat itu juga perlu memenuhi keperluan spesifikasi keselamatan makanan Eropah yang sangat tinggi. Projek ini amat mencabar kerana kita perlu memenuhi dua piawaian antarabangsa serentak.

"Usaha ini mampu dilaksanakan dan syarikat terbabit telah menerima sijil halal pada 27 Disember lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: