Najib fail dua permohonan gugur Sri Ram

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan dua permohonan bagi menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya telah memfailkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram.

Beliau memaklumkan, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Jelasnya dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, pihaknya memohon beberapa perintah untuk membatalkan beberapa keputusan membabitkan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Menurutnya permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding mencabar pelantikan Sri Ram akan didengar esok di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

Pada masa yang sama, Muhammad Shafee memaklumkan, pihaknya sebelum ini sudah memfailkan notis usul untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Sehubungan itu Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan pada 31 Januari bagi pengurusan kes dan 8 Februari untuk mendengar permohohan itu.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: 25 kes Najib: Perbicaraan ditetapkan April 2019]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bicara Najib akan diadakan di Mahkamah KL ]

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.