Maszlee kesal lebih dilihat timbulkan krisis dari dinilai pencapaian

Dr Maszlee mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Lobi Blok E8 Kompleks E Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya hari ini.
 - Foto: Bernama
Dr Maszlee mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas yang diadakan di Lobi Blok E8 Kompleks E Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya hari ini.
 - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kesal beliau lebih dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan kerajaan berbanding pencapaian kementeriannya.

Di sebalik pencapaian luar biasa Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh 20 bulan diterajuinya, Maszlee menegaskan kementerian itu lebih mendapat perhatian dalam isu sensitif daripada pihak media, kumpulan tertentu dan sebilangan ahli politik negara ini.

Menurutnya, antara isu sensitif sengaja diperbesarkan adalah isu tulisan jawi, internet dan program sarapan percuma dan beberapa isu lain.

"KPM sering menjadi perhatian media, kumpulan tertentu dan dalam kalangan ahli politik, bukan daripada pencapaian, keberhasilan dan perkara disumbangkan kepada masyarakat yang memberi makna signifikan kepada rakyat.

"Perubahan dilakukan dalam tempoh 20 bulan saya menerajui KPM begitu signifikan dan begitu indah untuk kita kongsi kepada rakyat, malangnya ianya tidak mendapat perhatian dan tajuk utama berita.

"Akhirnya seperti mana disebutkan, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma," katanya pada sidang media khas di sini petang tadi.

Ditanya faktor utama perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan, Maszlee hanya menjelaskan keputusan itu didorong nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa memberi penjelasan lanjut.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kepercayaan apa jua nasihat diberikan kepimpinan kerajaan diketuai Dr Mahathir adalah demi kepentingan masa hadapan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya Dr Mahathir sebagai negarawan terulung mempunyai pandangan bijaksana dan lebih memahami apa yang terbaik untuk kepentingan negara.

"Sebagai seorang ahli parti dan pemimpin kerajaan, saya sudah menjalankan tugas yang terbaik dan saya berterima kasih kepada Dr Mahathir atas peluang diberikan meskipun begitu singkat," katanya.

Terdahulu, Maszlee mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri berkuat kuasa esok.

Pengumuman itu dibuat beliau dalam satu sidang media khas yang diadakan di lobi KPM di sini, tepat jam 4.30 petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya-pulangkan-jawatan-ini-kepada-Perdana-Menteri