Khabar angin goncang sistem beraja negara

AGONG
AGONG
A
A
A

IA bermula dengan satu khabar angin. Khabar angin yang hampir sukar dipercayai apabila ia diviralkan menerusi medium media sosial.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, seorang Yang di-Pertuan Agong turun takhta di tengah-tengah pemerintahannya.

Namun, apa yang dianggap khabar angin akhirnya menjadi kenyataan apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan Sultan Muhammad V selaku Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada petang Sabtu lalu.

Maka riuh rendahlah seluruh rakyat jelata dan seanterio dunia.

Malah pada zaman teknologi maklumat di hujung jari, hampir semua orang mahu menyatakan pendapat dan melontarkan pandangan.

Namun, buah fikiran biasa-biasa di Facebook atau di Twitter jarang diambil peduli. Jadi akhirnya, bukan sedikit yang menulis kata-kata nista untuk meraih perhatian termasuklah dalam kes Sultan Muhammad V turun takhta.

Ada yang mengaitkan peletakan jawatan Sultan Muhammad V dengan khabar angin berita perkahwinan baginda dengan seorang Ratu Cantik Moscow.

Malah ada juga yang mendakwa hubungan pihak Istana dengan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agak dingin.

Artikel Berkaitan:

Namun, semua itu khabar angin yang masih memerlukan pengesahan dan pembuktian.

Contohnya dalam spekulasi perkahwinan diraja yang sudah dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa, sehingga kini belum ada pengesahan dari pihak Istana.

Sejauh mana kebenaran khabar angin perkahwinan itu sehingga kini ia masih menjadi rahsia dan tanda tanya.

Namun, hari ini keresahan rakyat tertumpu pula kepada siapa yang bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16?

Sebagai salah sebuah daripada 43 negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan beraja (merujuk kepada buku Dustur wa Salatin tulisan Datuk Dr Khairil Annas Jusoh), sistem monarki di Malaysia dilihat antara yang paling unik.

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran dalam pelantikan Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 1957.

Sistem penggiliran itu kini sudah pun memasuki pusingan kedua dan menariknya sehingga ia masih mengikut susunan penggiliran.

Bagaimanapun pencarian pengganti Yang di-Pertuan Agong ke-16 membuatkan ribut khabar angin terus menggoncang sistem monarki negara.

Mengikut turutan penggiliran, jawatan tersebut sepatutnya diserahkan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Namun, tahap kesihatan Sultan Pahang yang kurang mengizinkan menyebabkan jawatan Ketua Negara mungkin akan diberikan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Persoalannya apakah isi pertemuan Sultan Ibrahim yang berkenan menerima menghadap Tun Mahathir esok di Istana Bukit Serene, Johor Bahru?

Jika benar khabar angin yang mengaitkannya dengan pelantikan Agong ke-16, ia bermakna ini adalah kali pertama turutan penggiliran Agong antara sembilan negeri yang menganggotai Majlis Raja-Raja Melayu itu tidak dituruti.