Wartawan penyiaran terima ugutan bunuh

Mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Kuala Terengganu petang semalam.
Mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Kuala Terengganu petang semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wartawan penyiaran menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan berhubung isu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di sini semalam.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi komen-komen warganet yang ditinggalkan di portal dalam talian televisyen tersebut selepas satu video mengenai isu berkaitan dimuat naik dan menjadi tular di laman sosial.

Menurutnya, selain diugut bunuh, dia turut menerima ancaman yang dirinya akan dicederakan selain harta bendanya akan dirosakkan.

"Lebih membimbangkan, saya bersama jurukamera turut didatangi individu tidak dikenali di pejabat hari ini (semalam) yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana kami bangkitkan isu tersebut," katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini selepas membuat laporan polis, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sebelum ini, media menyiarkan hari pertama sesi persekolahan di SRIDI Wakaf Mempelam di sini 'panas' apabila ibu bapa menyuarakan rasa tidak berpuas hati kerana sekolah berkenaan tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Keadaan itu menyebabkan 110 murid sekolah itu berhimpun dalam kelas yang panas dan gelap kerana kurang pencahayaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas isu tersebut dibangkitkan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah segera agar masalah berkenaan tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat mengakui berlaku masalah bekalan air dan elektrik di sekolah itu, namun tindakan sudah diambil.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Panas' bila sekolah tiada air, elektrik

Kerajaan ambil tindakan segera masalah bekalan air, elektrik di SRIDI