Hanya seorang murid Tahun Satu di SK Sungai Jernih

Mustafa Kamal (kanan) beramah mesra dengan Nur Zahirah Aisyah ketika hari pertama persekolahan di SK Sungai Jernih, Lubok China hari ini.
Mustafa Kamal (kanan) beramah mesra dengan Nur Zahirah Aisyah ketika hari pertama persekolahan di SK Sungai Jernih, Lubok China hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak perempuan menjadi murid tunggal Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih, Lubok China di sini pada hari persekolahan sesi 2020 hari ini.

Walaupun tanpa kehadiran rakan-rakan lain, Nur Zahirah Aisyah Muhamad Zuhaili, 7, dilihat teruja dan gembira memulakan hari pertama di sekolah yang terletak di kawasan luar bandar itu.

Guru Besar SK Sungai Jernih, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata, bilangan murid Tahun Satu tahun ini menurun berbanding sebelumnya iaitu sembilan orang melibatkan lima murid lelaki dan empat perempuan.

Menurutnya, sekolah tersebut kini mempunyai seramai 16 orang murid dari Tahun Satu hingga Enam berbanding 31 orang tahun lalu.

Nur Zahirah Aisyah
Nur Zahirah Aisyah

"Walaupun hanya seorang, namun kita tidak boleh bergabung dengan murid tahun lain kerana di peringkat awal dan permulaan ini murid harus diajar asas penting seperti membaca, mengira dan menulis dengan betul sebelum melangkah ke tahun seterusnya," katanya.

Mengulas lanjut katanya, kekurangan murid bukan penghalang kepada pihak sekolah terutama guru-guru memberikan yang terbaik, sebaliknya murid akan lebih diberikan tumpuan walaupun mereka kurang dari segi persaingan antara murid.

"Kita juga bersyukur walaupun bilangan murid kecil, namun telah mendapat pengiktirafan sekolah cemerlang pada tahun lalu apabila semua murid Tahun Enam yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat keputusan lulus semua mata pelajaran diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nur Zahirah Aisyah berkata, walaupun tiada rakan lain dalam bilik darjah, dia tetap bersemangat ke sekolah.

Guru, Ahmad Fariez Salleh sedang mengajar Nur Zahirah Aisyah.
Guru, Ahmad Fariez Salleh sedang mengajar Nur Zahirah Aisyah.

Katanya, sekurang-kurangnya dia boleh belajar dengan tenang tanpa gangguan selain melahirkan perasaan gembira dapat bersekolah di situ.

"Saya nak jadi doktor, kalau belajar seorang tak ada yang ganggu dan saya boleh jumpa rakan-rakan masa rehat.

"Saya seronok bangun awal ke sekolah, guru-guru pun baik dan saya kenal serta hafal nama semua guru termasuk guru kelas," katanya.