X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis rampas akar kayu dari China

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 40 kilogram akar kayu dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada awal tahun baru kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, akar kayu yang cuba dibawa masuk oleh seorang lelaki dari China itu ditemui semasa pemeriksaan mesin pengimbas pada 12.30 malam semalam.

Beliau berkata, individu yang membawanya gagal mengemukakan dokumen yang sah seperti permit import yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

"Semua akar kayu yang dibawa masuk bagi tujuan perubatan tradisional itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Menurut Tarmisal, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah Maqis adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama.

Beliau berkata, Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisme yang dibawa masuk ke dalam negara adalah bebas daripada sebarang ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

"Ini supaya tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan serta kesihatan makanan,” katanya. - Bernama