Bayaran urusan tanah naik sehingga 500 peratus tidak benar

Maklumat tular mengenai kenaikan bayaran bagi pelbagai urusan tanah yang didakwa akan dinaikkan sehingga 500 peratus pada 2020. Gambar kecil: Azman
Maklumat tular mengenai kenaikan bayaran bagi pelbagai urusan tanah yang didakwa akan dinaikkan sehingga 500 peratus pada 2020. Gambar kecil: Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menafikan dakwaan satu sumber yang kini tular bahawa kerajaan negeri itu akan menaikkan kadar bayaran bagi pelbagai urusan tanah sehingga 500 peratus.

Sumber itu turut memaklumkan urusan bagi carian rasmi dinaikkan daripada RM20 kepada RM100, manakala bagi belian pelan naik daripada RM15 kepada RM50.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, setakat ini tidak berlaku perubahan kerana kadar fi bayaran pejabat bagi urusan tanah yang diguna pakai di negeri itu diwartakan sejak 32 tahun lalu iaitu pada 1987.

"Tidak ada kenaikan kadar bayaran urusan tanah akan dikuatkuasakan oleh kerajaan Terengganu dengan jumlah kenaikan sebagaimana yang ditularkan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Dr Azman tidak menafikan kajian dan semakan semula kadar fi sedang dilakukan.

"Kajian semakan semula untuk mencadangkan kadar baru telah dilakukan sejak 2016 lagi," katanya.

Menurutnya, kadar itu perlu disemak semula supaya sesuai dengan harga tanah semasa seperti yang dilaksanakan di negeri Kelantan (2019), Pahang (2017), Kedah (2016), Johor (2005) dan Selangor (2003).

Bagaimanapun katanya, keutamaan rakyat sentiasa didahulukan supaya tidak terbeban dengan setiap keputusan yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu kepentingan rakyat menjadi faktor utama yang akan diambil kira dalam menentukan kadar baharu agar ia tidak membebankan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa kerajaan Terengganu menaikkan kadar bayaran urusan tanah sehingga 500 peratus bagi tahun 2020.

Selain itu, tular juga mengenai urusan pendaftaran geran tanah meningkat daripada RM40 bergantung kepada harga tanah manakala urusan bagi mendapatkan geran baharu bagi kes geran tanah yang hilang naik daripada RM115 kepada RM500.

Sumber itu turut memberitahu, bagi urusan batal sekatan dalam geran pula dinaikkan daripada RM50 kepada RM500.