Tuah ikan belukang

A
A
A

MELAKA TENGAH - Acara penutup program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, A Journey To Visit Malaysia 2020 yang berlangsung di Pantai Puteri, Klebang di sini pada Ahad lalu berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 2,618 peserta memancing.

Pertandingan sempena siri akhir itu turut menyaksikan ikan belukang yang didaratkan oleh peserta bertuah, Mohd Esa Salamon, 50, dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM70,000.

Beliau yang bekerja sebagai seorang pemandu lori sebelum ini telah mengikuti kesemua 10 siri program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, namun tidak pernah membawa pulang sebarang hadiah.

Muhamad Zawawi Zakaria dari Pahang turut bertuah apabila merangkul juara keseluruhan Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 dan berjaya membawa pulang sebuah kereta Myvi, manakala naib juara dimenangi oleh Zabri Abd Rashid dari Kelantan dengan hadiah sebuah kereta Perodua Bezza.

Pemenang kereta Myvi bergambar bersama Adly (tiga dari kiri).
Pemenang kereta Myvi bergambar bersama Adly (tiga dari kiri).

Tempat ketiga dengan hadiah sebuah kereta Perodua Axia dimenangi secara bersama oleh Abdul Salam Ismail dan Ahmad Faizal Abd Rahim.

Melaka yang sebelum ini menjadi tuan rumah sebagai pembuka tirai pada 17 Mac lalu sekali lagi dipilih lokasi penutup bagi acara pertandingan memancing jelajah kebangsaan yang penuh berprestij itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Juhari Osman; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Tourism Malaysia Zulkifly Md Said dan pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (bertopi merah) melawat kawasan memancing.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (bertopi merah) melawat kawasan memancing.