Larangan merokok: JKNP periksa 656 premis

Dr Shaari
Dr Shaari
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 656 tempat makan diperiksa dengan 58 Notis 32B dikeluarkan kepada pemilik restoran di seluruh negeri Pahang hari ini bagi kesalahan merokok di tempat larangan, tiada papan tanda larangan dan notis.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Shaari Ngadiman berkata, daripada jumlah itu 51 notis dikeluarkan kepada individu yang merokok di tempat makan, empat notis kepada pemilik tempat makan manakala masing-masing dua notis kepada peniaga yang tidak menampal tanda larangan merokok dan gagal memastikan tiada individu merokok di premis mereka.

Menurutnya, turut dikeluarkan ialah tiga notis terhadap individu merokok di hentian pengangkutan awam.

"Kesemua notis itu dikeluarkan dalam satu operasi penguatkuasaan penuh yang dilaksanakan JKNP," katanya.

Beliau berkata, Notis 32B yang dikeluarkan di daerah Kuantan ialah sebanyak 14, Bentong (13), Lipis (10), Pekan, Temerloh dan Bera (4) Raub dan Maran (3), Rompin (2) dan Cameron Highlands (1).

Katanya, seramai 311 penguat kuasa kesihatan di seluruh negeri memeriksa 102 premis di Rompin, Kuantan (89), Pekan (81), Bentong (81), Temerloh (72), Raub (71), Cameron Highlands (53), Maran dan Bera(43) manakala Lipis (21)

Dr Shaari mengingatkan perokok mematuhi arahan larangan merokok di semua tempat makan bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Beliau berkata, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh penerimaan kompaun.

"Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

"Kompaun sebanyak RM350 akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya. Jika gagal menjelaskan kompaun, tindakan mahkamah boleh dikenakan dengan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun," katanya.

Beliau memberitahu, pemilik premis juga bakal berdepan tindakan jika gagal meletakkan tanda larangan merokok.

Katanya, mereka berdepan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 selain tindakan mahkamah.

JKNP memulakan penguatkuasaan pendidikan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2019 bagi memberi peluang masyarakat mengubah tabiat merokok.

Dalam tempoh itu, sebanyak 12,185 premis makanan telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,765 kesalahan dikesan.

Sebanyak 17 sesi dialog bersama pegawai JKNP dan pengusaha premis makanan telah dilaksanakan membabitkan 35,136 risalah dikeluarkan.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit di klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri.

Perkhidmatan mQuit melibatkan 11 hospital, 84 klinik kesihatan dan enam fasiliti mQuit swasta telah diberikan akreditasi.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.