PGA patahkan 47 kes seludup daun ketum bernilai lebih RM1.8 juta

Mohamed Rafiq (lima dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di PGA Bukit Kayu Hitam hari ini. - Foto: Bernama
Mohamed Rafiq (lima dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di PGA Bukit Kayu Hitam hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Sebanyak 47 kes penyeludupan daun ketum membabitkan berat keseluruhan 12,560 kilogram bernilai lebih RM1.8 juta berjaya dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, rampasan itu dilakukan sepanjang penugasan ‘Op Wawasan Kedah/Perlis’ bermula 23 November lalu dan berakhir hari ini.

Selain itu, pihaknya turut merampas 55 guni berisi 258 ekor ular tedung selar yang dianggar bernilai RM57,000 yang ditinggalkan di sebuah pondok di Felda Mata Ayer, Perlis pada 24 Disember lalu.

Mohamed Rafiq berkata, pihaknya percaya ular-ular itu diseludup keluar untuk dijadikan makanan eksotik di negara jiran.

“Pemerhatian beberapa jam mendapati tiada individu yang mengambil karung guni ular itu dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh penugasan itu juga, sembilan individu warga Myanmar, Thailand dan tempatan ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sebanyak 40 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM334,000, 20 unit telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai hampir RM8,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: