X

Kindly register in order to view this article
!

Harga hari pertama Pulau Bebas Cukai masih sama

Penjualan minuman keras di Pulau Pangkor tidak dikecualikan cukai biarpun difahamkan barangan tersebut termasuk di dalam bebas cukai.
A
A

LUMUT - Status Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) bermula secara rasmi hari ini.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian di pulau tersebut mendapati harga barangan dan perkhidmatan di sini masih kekal seperti sebelumnya biarpun sudah diiktiraf sebagai bebas cukai.

Ahli Majlis Perbandaran Manjung bagi Zon 2 Pangkor, Mohamad Shamsul Izwan Sulaiman berkata, kebanyakan barang-barang yang dikategorikan sebagai bebas cukai masih belum dibawa masuk ke dalam pulau.

Katanya, disebabkan itu tiada barangan yang turun harga walaupun hari ini Pulau Pangkor ditukar status sebagai PBC.

"Kalau diikutkan, barang-barang yang dijual hari ini merupakan stok sedia ada yang dibeli oleh peniaga sebelum 1 Januari.

"Memandangkan hari ini cuti umum, kemungkinan besar barang-barang bebas cukai akan dibawa masuk esok dan pelancong boleh menikmati harga bebas cukai pada 3 Januari nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di beberapa premis di sekitar Pulau Pangkor hari ini.

Mohamad Shamsul berkata, setakat ini terdapat tiga premis menjual barangan bebas cukai yang sudah dibuka dan dijangka dua lagi akan dibuka dalam masa terdekat membabitkan kedai coklat serta barangan beraneka.

Mengenai barangan yang tidak termasuk di dalam senarai bebas cukai, beliau berkata, berdasarkan taklimat sebelum ini, hanya kraftangan, gamat, ikan bilis dan kenderaan berenjin tidak termasuk barangan bebas cukai.

Katanya, barang-barang lain termasuk minuman keras dan rokok disenarai sebagai barangan bebas cukai.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan mengenai penyenaraian minimum keras dan rokok itu bergantung kepada keputusan kerajaan negeri memandangkan terdapat bantahan masyarakat setempat.

"Kita tunggu keputusan rasmi daripada kerajaan negeri mengenai minuman keras dan rokok ini kerana saya tidak boleh komen lanjut mengenainya," katanya.

Sementara itu, menerusi tinjauan yang dibuat, terdapat premis yang menjual minuman keras di dalam Pulau Pangkor.

Bagaimanapun menurut pemilik premis yang enggan dikenali berkata, minuman keras yang dijual tidak melibatkan pengecualian cukai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus