Tragedi malam Tahun Baru 2020

Muhammad Noor (kanan) bersama Arsad menunjukkan kediaman dan kenderaan yang terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.
Muhammad Noor (kanan) bersama Arsad menunjukkan kediaman dan kenderaan yang terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.
A
A
A

SITIAWAN - Sebuah keluarga terpaksa menyambut Tahun Baru 2020 dalam keadaan menyedihkan apabila kediaman didiami enam beranak itu musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan hari ini.

Kejadian yang berlaku pada tengah malam tadi turut memusnahkan sebuah kereta jenis Perodua dan dua motosikal.

Mangsa, Muhammad Noor Hamdan Ahmad Zahari, 32, berkata, kejadian yang berlaku itu hampir meragut nyawa isterinya, Aishah Nadia Ashiqin Arsad, 32, dan ibu mentua, Sarimahtun Saadiah Mohd Kasim, 62, yang ketika itu sedang tidur di bilik masing-masing.

Menurutnya, tiga ahli keluarga lain termasuk bapa mentuanya yang juga pemilik rumah, Arsad Md Ariffin, 60, tiada di rumah ketika kejadian itu.

"Isteri saya yang mula-mula sedar lepas tercium bau asap. Kemudian kami nampak api dan terus keluar rumah.

"Tidak lama selepas itu, kami masuk semula mencari ibu mentua kerana perasan tidak ada di luar rumah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Muhammad Noor berkata, walaupun tinggal sehelai sepinggang, mereka bersyukur kerana semuanya tidak mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran yang berlaku tengah malam itu menyebabkan enem sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Kebakaran yang berlaku tengah malam itu menyebabkan enem sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Namun katanya, isteri yang sedang mengandung enam bulan terpaksa ditahan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung kerana mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap.

Dia berkata, bagaimanapun keadaan isterinya yang mengandungkan anak sulung mereka itu bagaimanapun dalam keadaan stabil.

Muhammad Noor berkata, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada mercun yang dinyalakan di luar rumah oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Sebelum ini ada dua hingga tiga individu tidak dikenali bermain mercun berhampiran kawasan rumah kami.

"Memang tak boleh nak tidur sebab bunyi bising dan beberapa kali saya terdengar bunyi letupan mercun. Saya rasa itulah sebabnya (rumah terbakar)," katanya.

Bukan sahaja motosikal dan kereta yang terbakar tetapi semua kelengkapan rumah serta barang kelengkapan bayi pertama mereka juga musnah terbakar.

Katanya, hanya sebuah kereta dan sebuah motosikal yang sempat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 12.13 tengah malam.

"Setiba di lokasi kejadian, rumah berkenaan bersama sebuah kereta serta dua motosikal musnah terbakar 90 peratus.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal sepenuhnya kebakaran itu," katanya.

Beliau berkata, operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada BBP Seri Manjung dan Pasukan Bomba Sukarela Ayer Tawar di sini.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.