Orang muda dominasi 'check in' hotel malam tahun baru

Anggota penguat kuasa JHEAINS sedang mendapatkan maklumat pasangan bukan muhrim yang ditahan di hotel bajet. - FOTO: Ihsan JHEAINS
Anggota penguat kuasa JHEAINS sedang mendapatkan maklumat pasangan bukan muhrim yang ditahan di hotel bajet. - FOTO: Ihsan JHEAINS
A
A
A

SEREMBAN - Golongan muda terus 'mendominasi' pasangan yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan percubaan melakukan persetubuhan haram setiap kali malam tahun baharu di negeri ini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Penolong Pengarah (Kanan) Ahmad Zaki Hamzah berkata, dalam Operasi Ambang Tahun Baharu bermula jam 1 hingga 5 pagi itu, seramai 15 pasangan telah ditahan pihaknya di hotel sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.

"Pasangan berumur antara 20-an hingga 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

"Seperti biasa, anak muda paling ramai ditahan dan ia sangat menyedihkan kerana mereka memilih menyambut tahun baru dengan pasangan masing-masing dengan 'check in' di hotel," katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu katanya, seorang lelaki berusia 20-an pula ditahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana disyaki minum minuman memabukkan.

Seramai 15 pasangan telah ditahan di hotel sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.
Seramai 15 pasangan telah ditahan di hotel sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.

Ahmad Zaki berkata, pemuda itu mengaku minum minuman keras sebelum bertemu dengan pasangannya di tepi pantai di Port Dickson.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di Seremban untuk siasatan lanjut dan jika disabit bersalah, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Saya nasihatkan, jagalah maruah diri dan keluarga dengan tidak melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum Islam. Ibu bapa juga diminta sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar mereka tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut mengadakan program Street Dakwah dengan mengedarkan risalah kepada golongan remaja di sekitar Pantai Port Dickson bagi menjelaskan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, platform itu digunakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk memberi penjelasan tentang hukum syarak dan kesalahan syariah kepada orang Islam dengan konsep lebih dekat iaitu secara bersemuka.