[VIDEO] 87 warga China diberkas

No Image Caption
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMASKINI] Seramai 87 warga China yang menjadikan rumah kediaman bagi menyembunyikan aktiviti jenayah dalam talian berjaya dicekup di sini tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak lima unit kediaman dan sembilan premis disyaki menjalankan kegiatan pelaburan atas talian dan juga perjudian.

Menurutnya, operasi terbabit turut melibatkan penahanan seramai 79 lelaki dan lapan wanita, selain rampasan enam komputer, 33 komputer riba dan 203 telefon bimbit.

"Kita mendapati modus operandi telah bertukar iaitu daripada menyewa bangunan komersial yang besar kepada menyewa rumah-rumah kediaman seperti kondominium.

"Unit-unit kediaman dijadikan pusat operasi dilengkapi dengan kemudahan komputer riba dan talian internet," katanya pada sidang media tadi.

Operasi bersepadu itu turut disertai pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Khairul berkata, mereka disyaki menjalankan kegiatan pelaburan atas talian berdasarkan skrin komputer yang memaparkan skim-skim pelaburan sama ada forex dan crypto currency, termasuk perjudian.

"Premis yang diserbu ini turut dijadikan pusat latihan ‘on job training’ berdasarkan skrip dan manual prosedur operasi standard (SOP) yang dijumpai.

Artikel Berkaitan:

"Mereka dilatih bagaimana untuk mendekati pelanggan melalui aplikasi atas talian," katanya.

Khairul berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh sumber mengenai pembelian kad sim semalam berjumlah RM24,000 di premis sekitar bangunan.

"Kini ahli sindiket bergerak dalam kumpulan kecil," katanya.

Katanya, kesemua individu yang ditahan berusia 21 hingga 36 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen.

Bagaimanapun beliau berkata, kesemua suspek akan ditahan reman selama 14 hari di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.