Enam sekolah di Johor terpilih Program Sarapan Pagi

Aminolhuda (kanan) bertanya khabar murid SK Kangkar Pulai 2, sewaktu meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun 2020 hari ini.
Aminolhuda (kanan) bertanya khabar murid SK Kangkar Pulai 2, sewaktu meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun 2020 hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Enam buah sekolah di Johor terlibat dengan pelaksanaan Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama yang akan bermula pada 20 Januari ini.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, pemilihan sekolah terbabit dibuat berdasarkan jumlah tertinggi golongan B40.

Menurutnya, enam buah sekolah terbabit terletak di kawasan luar bandar yang akan menjadi perintis kepada PSP bagi kementerian mendapatkan gambaran lebih tepat tentang kantin, pengusaha dan urusan berkaitan.

"Sekolah terlibat PSP ialah SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) South Malaya Kluang, SK (Sekolah Kebangsaan) Rengit Batu Pahat, SK Parit Sulong Batu Pahat, SK Tengku Mahkota Iskandar 1 Pontian.

"Dua lagi ialah SK Kampung Sungai Layau Kota Tinggi dan SK Sri Jong Muar," katanya selepas mengadakan lawatan hari pertama sesi persekolahan tahun 2020 di SK Kangkar Pulai 2 di sini hari ini.

Gelagat murid SK Kangkar Pulai 2 ketika perhimpunan pagi pada sesi pertama persekolahan tahun 2020 hari ini.
Gelagat murid SK Kangkar Pulai 2 ketika perhimpunan pagi pada sesi pertama persekolahan tahun 2020 hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Kangkar Pulai 2, Nor Azman Abd Rahman.

Aminolhuda berkata, jumlah sekolah terpilih bagi PSP di Johor diharap akan ditambah pada masa hadapan dengan mengambil kira faktor sekolah di bandar turut mempunyai murid daripada keluarga susah.

Artikel Berkaitan:

"Di Johor, kita mempunyai 11 PPD (Pejabat Pendidikan Daerah). PSP diharap dapat diperluaskan dengan lebih banyak sekolah terpilih terutama di kawasan bandar.

"Sasarannya setiap daerah sekurang-kurangnya dua buah sekolah terpilih untuk PSP selepas fasa pertama dimulakan pada 20 Januari ini," katanya.

PSP fasa pertama bermula 20 Januari ini membabitkan 100 sekolah dari seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari di mana kos dianggarkan RM22 juta.

Aminolhuda berkata, sebuah kawasan dikenal pasti bagi pembinaan sekolah baharu di Kangkar Pulai yang kini mempunyai penduduk yang agak padat disebabkan pembukaan taman perumahan baharu.

"Tanah untuk Kementerian Pendidikan membina sekolah sudah dikenal pasti iaitu di Taman Pulai Emas dan bilangan murid serta pelajar di SK Kangkar Pulai 1 dianggarkan seramai 1,600 murid.

"SK Kangkar Pulai 2 dianggarkan seramai 1,800 murid manakala SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Kangkar Pulai dianggarkan 2,700 pelajar. Bilangan ini agak tinggi, sebab itu perlukan sekolah baru," katanya.