Usahawan Cina bantu bina rumah terbakar

Munir (kanan), Keen Tong (tiga dari kanan) ketika menziarahi rumah pusaka keluarga Sallehudin (empat dari kanan) dan Mohd Haffis (dua dari kiri) semalam di Kampung Rambutan, Kuala Nerang.
Munir (kanan), Keen Tong (tiga dari kanan) ketika menziarahi rumah pusaka keluarga Sallehudin (empat dari kanan) dan Mohd Haffis (dua dari kiri) semalam di Kampung Rambutan, Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Nasib dua beradik yang hilang tempat berteduh selepas rumah pusaka mereka di Kampung Rambutan, dekat sini terbakar pada Jumaat lalu mendapat perhatian seorang ahli perniagaan yang mahu membantu membina rumah baharu untuk mereka.

Ong Keen Tong, 53 berkata, dia sedia membantu Mohd Sallehudin Md Sin, 30, yang meraih pendapatan dengan menoreh getah manakala adiknya, Mohd Haffis,28, pula bekerja sebagai pembantu dewan makan asrama sekolah.

Menurutnya, bantuan membina rumah bernilai kira-kira RM48,000 diberikan kerana bapa kepada mangsa adalah kenalan yang juga pelanggan tetap di kedai bahan binaannya.

"Amalan bantu membantu ini saya amalkan sejak sekian lama malah amalan sedekah yang diamalkan ini sebenarnya menambahkan lagi rezeki saya.

"Saya mahu membuktikan bahawa tidak ada jurang di antara kami walaupun adanya perbezaan kaum dan agama.

"Sekarang ini orang sibuk memperkatakan tentang perkauman tetapi saya mahu membuktikan saya boleh hidup harmoni bersama masyarakat Melayu di Kuala Nerang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi mangsa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Zakaria di sini semalam.

Keen Tong berkata, sebelum ini dia juga turut mengagihkan 2,200 kampit beras kepada 18 buah masjid di daerah ini sekali gus bersama masyarakat Melayu juga semakin erat.

Artikel Berkaitan:

Sallehudin (kiri) dan Mohd Haffis melihat keadaan rumah pusaka keluarga mereka yang terbakar Jumaat lalu di Kampung Rambutan, Kuala Nerang.
Sallehudin (kiri) dan Mohd Haffis melihat keadaan rumah pusaka keluarga mereka yang terbakar Jumaat lalu di Kampung Rambutan, Kuala Nerang.

Terdahulu, Mohd Sallehudin berkata, dia kini bersama adiknya menumpang di rumah kakaknya yang juga seorang suri rumah manakala suami kakaknya itu bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai lima anak.

"Kalau hendak membina kembali rumah ini memang tidak mampu kerana saya memperoleh pendapatan kira-kira RM600 sebulan manakala adik pula berpendapatan RM900 sebulan," katanya.

Difahamkan rumah pusaka berusia lebih 40 tahun lalu terbakar disebabkan litar pintas.

Sementara itu Munir ketika ditemui berkata, beliau memuji usaha Keen Tong yang membantu semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

"Sikap pemurah usahawan Cina itu wajar dijadikan contoh usahawan lain terutama umat Islam dalam berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.

"Sebelum ini, Keen Tong membantu untuk membina pondok di Madrasah Ahmadiah Pondok Pak Teh Mat sebanyak RM50,000. Sikap ini dipuji malah secara tidak langsung menyatupadukan perpaduan pelbagai kaum di daerah Padang Terap," katanya.