Kumpul barang keperluan sekolah terpakai

Amir (tengah) melihat barangan keperluan sekolah yang dikumpulkan di kaunter yang tertulis 'Preloved Back To School' di Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya Sungai Petani.
Amir (tengah) melihat barangan keperluan sekolah yang dikumpulkan di kaunter yang tertulis 'Preloved Back To School' di Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bagi menyantuni golongan kurang berkemampuan membuat persiapan persekolahan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kuala Muda menganjurkan kempen mengumpul barang keperluan sekolah terpakai.

Yang Dipertua ABIM Kuala Muda, Dr Amir Mohd Nason berkata, kempen bermula 15 Disember lalu itu menempatkan dua lokasi pengumpulan barangan sekolah terpakai iaitu di Stesen Minyak Shell Taman Sejati dan Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya.

Menurutnya, antara barangan sekolah yang dikumpulkan termasuklah beg, kasut, baju dan alat tulis yang masih boleh digunakan.

"Setakat ini, kita menerima sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat sejak ia dibuka dan dijangka tamat pada 31 Disember 2019 iaitu sebelum sesi persekolahan baharu dibuka," katanya kepada Sinar Harian.

Amir berkata, selain membantu golongan kurang berkemampuan seperti pelajar asnaf dan kumpulan B40 dalam menghadapi cabaran kos sara hidup tinggi, kempen diadakan juga bertujuan menggalakkan kitar semula barangan.

"Dalam masa sama, kita menggalakkan masyarakat kitar semula barangan yang masih elok, pembuangan barangan sebegitu hanya akan menambah kesan buruk kepada alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap program kemasyarakatan seumpama itu bagi membantu golongan memerlukan.

Artikel Berkaitan: