Sindiket penipuan masuk Islam, ini pendedahan jemaah masjid...

Sejak tular poster berkenaan kegiatan penipuan oleh keluarga terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, Ramli turut menerima beberapa panggilan meminta pengesahan mengenai kes itu sejak semalam.
Sejak tular poster berkenaan kegiatan penipuan oleh keluarga terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, Ramli turut menerima beberapa panggilan meminta pengesahan mengenai kes itu sejak semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penipuan memeluk Islam oleh satu keluarga sebagai jalan singkat untuk mendapatkan wang hasil kutipan derma jemaah masjid yang tular di media sosial disahkan benar-benar berlaku, tetapi sekitar lima atau enam tahun lalu.

Jemaah Masjid Al-Istiqamah, Ramli Puteh berkata, sejak tular poster berkenaan kegiatan penipuan oleh keluarga terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, dia turut menerima beberapa panggilan meminta pengesahan mengenai kes itu sejak semalam.

"Perkara itu cerita lama, kes berkenaan memang berlaku tetapi sekitar lima atau enam tahun lepas, mungkin ada pihak lain yang tularkan semula kes itu. Cuba tanya kepada pihak yang tularkan kes ini bila kejadian itu berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas kegiatan penipuan itu, Ramli yang waktu itu memegang jawatan Timbalan Nazir di masjid berkenaan, bersama jemaah lain telah didatangi satu keluarga antara empat ke lima individu yang mendakwa mahu memeluk Islam sebelum mengaturkan sesi mengucap dua kalimah syahadah.

"Waktu itu mereka agak kelam kabut dan mendakwa perlu lari ke Kelantan secepat mungkin sebab terima ancaman daripada bapa mereka, yang mereka dakwa mahu menculik mereka sekeluarga. Mungkin rekaan mereka saja untuk meraih simpati para jemaah dalam situasi itu.

"Kemudian lepas angkat kalimah syahadah, mereka pun segera ambil kutipan derma jemaah dan terus beredar, macam mengejut nak pergi ke Kelantan.

"Jadi kita pun ingat dakwaan mereka itu betul, kita pun sungguh-sungguh cuba membantu mana yang mampu tapi lepas dua, tiga hari ada orang bagitahu mereka turut melakukan modus operandi sama di salah sebuah masjid di Kajang dan beberapa lokasi lain," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihak Masjid Al-Istiqamah susulan kejadian itu tidak membuat laporan polis memandangkan kekurangan bukti berkaitan kes penipuan keluarga itu namun mengambil inisiatif dengan mengingatkan antara jemaah masjid berdekatan.

Artikel Berkaitan:

"Tak ada buat laporan polis waktu itu, lepas kita tahu kegiatan mereka kita cuma bagitahu dan ingatkan orang ramai yang mereka pernah datang ke masjid kita.

"Nak buat laporan polis pun waktu itu kita tiada rekod atau gambar untuk dijadikan bukti dan sebagainya, namun masjid lain saya tak pasti, mungkin ada yang buat laporan polis," katanya.