Mengamuk bakar baju mahu ahli keluarga mati

No Image Caption
A
A
A

DUNGUN - Pertanyaan seorang ibu yang bimbang anaknya seharian tidak pulang ke rumah membuatkan anaknya itu mengamuk dalam kejadian di sebuah rumah di sini semalam.

Bukan itu sahaja, lelaki berkenaan turut mengugut akan membunuh semua ahli keluarganya dengan membakar pakaian di dalam rumah mereka.

Sebelum kejadian, disebabkan terlalu risau keselamatan suspek, 20-an yang tidak pulang ke rumah sehari sebelum itu, wanita berusia 62 tahun itu terus bertanyakan ke mana anaknya pergi dengan cara baik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudian Abdullah berkata, pertanyaan mangsa bagaimana menyebabkan suspek naik angin dan mengugut mahu membakar rumah mereka supaya semua yang ada di dalam kediaman berkenaan mati.

"Melihat keadaan itu, mangsa hanya mendiamkan diri kerana enggan mengeruhkan keadaan kerana bimbang suspek bertindak lebih agresif.

"Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila melihat suspek membakar kain baju di dapur rumah mereka pada jam 6.20 pagi iaitu kira-kira sejam selepas dia mengeluarkan kata-kata ugutan itu.

"Kebakaran itu berjaya dipadam seorang lagi anak lelaki mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Dungun kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.