Respons terbaik jawab notis tuntutan

A
A
A

KITA sering menerima notis tuntutan daripada pihak tertentu terutamanya daripada pihak bank atau syarikat pinjaman wang seperti AEON Credit.

Adakah kita boleh mengabaikan notis tuntutan tersebut?

Secara kasarnya, notis tuntutan tidak mempunyai kesan perundangan terus kepada penerimanya.

Jika anda mengabaikan notis tuntutan yang anda terima, pihak yang menghantar notis tuntutan itu mempunyai pilihan sama ada untuk terus mengambil tindakan saman atau tidak.

Namun, ramai yang terlepas pandang akan kepentingan menulis balas kepada notis tuntutan yang diterima.

Walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan si penerima notis tuntutan untuk membalas atau merespons kepada notis tuntutan yang diterima, namun tindakan membalas notis tuntutan akan menjadi satu alternatif yang baik kepada pembelaan kes anda kelak.

Sebagai contoh, jika anda menerima satu notis tuntutan yang menuntut anda untuk melakukan sesuatu seperti membuat pembayaran atau memohon maaf, anda boleh membalas notis tuntutan tersebut dengan mengatakan ketidaksetujuan anda untuk melakukan apa yang telah dituntut kerana anda rasakan anda tidak bersalah, atau anda ingin membantah dengan mana-mana isi kandungan notis tuntutan tersebut.

Tindakan anda membalas notis tuntutan yang dihantar kepada anda sedikit sebanyak akan membantu untuk menguatkan pembelaan kes anda jika perkara itu dibawa ke mahkamah kelak.

Artikel Berkaitan:

Tetapi jika anda mengabaikan notis tuntutan yang diterima, ia hanya akan melemahkan pembelaan kes anda di mahkamah kelak.

Itulah yang telah diputuskan dalam kes Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia v Lim Woon Katt pada 11 Ogos 2016 yang lalu.

Adakah anda perlukan peguam untuk menghantar atau membalas notis tuntutan? Sudah tentu anda tidak perlukan peguam untuk menghantar atau membalas notis tuntutan, tetapi notis tuntutan yang ditulis atau dibalas oleh peguam adalah lebih berwibawa.

Peguam lebih tahu apa yang perlu ditulis atau dibalas dalam notis tersebut bagi mengelakkan kes anda menjadi lebih rumit.

Bolehkah orang perseorangan menghantar notis tuntutan? Tiada undang-undang yang menghalang mana-mana pihak daripada menghantar notis tuntutan kepada mana-mana pihak yang lain.

Jika anda ada memberi hutang kepada mana-mana individu mahupun syarikat, anda berhak untuk menuntut hutang anda semula dengan menghantar notis tuntutan.

Begitu juga dengan apa-apa jua jenis tuntutan lain yang anda mahu lakukan. Namun, adalah dinasihatkan agar notis tuntutan tersebut ditulis dan dihantar oleh peguam. Itu akan membantu kes anda terhadap defendan kelak.

Tetapi harus difahami bahawa tujuan menghantar notis tuntutan adalah untuk menuntut agar sesuatu masalah atau isu diselesaikan dan pihak yang satu lagi diberikan peluang untuk mencadangkan penyelesaian kepada masalah atau isu tersebut.

Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan di luar mahkamah, adalah lebih baik diselesaikan sebaik mungkin di luar mahkamah.

Penyelesaian kes di mahkamah akan memakan kos dan masa, dan boleh jadi ‘tidak balik modal’ kepada anda.

Oleh itu, jika anda ada menerima apa-apa notis tuntutan daripada mana-mana pihak, pastikan anda memberi respons kepada notis tuntutan tersebut tanpa mengabaikannya.

Jika anda di pihak yang salah, anda wajar untuk membalas notis tersebut dengan mencadangkan beberapa jalan penyelesaian agar isu tersebut boleh diselesaikan dengan cara baik.

* Haeme Hashim ialah peguam di Haeme Hashim & Co