Dua pusat pengajian al-Quran Braille beroperasi Februari

Afzam memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran selepas dinobatkan sebagai johan pada Majlis Tilawah AL-Quran Braille Peringkat Negeri Terengganu di Menara Yayasan Terengganu hari ini. - Foto Bernama
Afzam memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran selepas dinobatkan sebagai johan pada Majlis Tilawah AL-Quran Braille Peringkat Negeri Terengganu di Menara Yayasan Terengganu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Terengganu kini berpeluang mempelajari al-Quran Braille selepas dua lagi pusat pengajian khas dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya Februari depan.

Kedua-dua pusat pengajian al-Quran Braille bernilai RM3 juta yang akan dibuka di Kampung Raja dekat Besut dan di Kerteh, Kemaman itu akan membuat pengambilan pertama masing-masing seramai 30 pelajar apabila ia beroperasi nanti.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, ketika ini proses ubah suai bangunan tersebut sedang dijalankan supaya ia lebih mesra OKU.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan mereka dengan hasrat kami dalam memperkasakan syiar Islam dalam kalangan OKU penglihatan di Terengganu.

Kewujudan dua pusat pengajian baharu ini sangat membantu golongan OKU yang selama ini terpaksa berulang-alik dari Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut memandangkan hanya ada satu pusat pengajian ketika ini iaitu di Seberang Takir," katanya.

Mohd Fauzi pada temu bual ketika majlis Tilawah AL- Quran Braille di Menara Yayasan Terengganu hari ini. - Foto Bernama
Mohd Fauzi pada temu bual ketika majlis Tilawah AL- Quran Braille di Menara Yayasan Terengganu hari ini. - Foto Bernama

Beliau ditemui media pada Majlis Tilawah al-Quran Braille anjuran Pertis Wilayah Terengganu bersama Yayasan Islam Terengganu yang disertai 15 peserta di sini hari ini.

Dalam majlis itu, qari Abdul Latif Yusof, 39, dari Bukit Tok Beng, Kuala Nerus dan qariah Afzam Mustafa, 39, dari Kerteh, dinobatkan sebagai juara dan masing-masing menerima wang tunai RM300 dan hadiah iringan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, pihaknya juga berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengadakan lebih banyak aktiviti kepada lebih 400 ahli Pertis Wilayah Terengganu.

"Jika kita ada sukan paralimpik untuk OKU, sudah pasti kita boleh adakan majlis tilawah al-Quran juga untuk golongan OKU dan kami sudah bersedia ke arah itu sekiranya ada pihak yang berminat menganjurkannya," katanya. - Bernama