Tengku Abdullah bakal ditabal Sultan Pahang?

Tengku Abdullah
Tengku Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mungkin ditabalkan sebagai SUltan Pahang bagi memboleh baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong mengikut penggiliran dalam Majlis Raja-Raja Melayu.

Spekulasi mengenai pelantikan tersebut rentetan satu mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang dijangka diadakan dalam sehari dua lagi.

Menurut sumber, perbincangan tersebut bagi membolehkan Tengku Abdullah terlebih dahulu ditabal sebagai SUltan Pahang bagi membolehkan baginda dilantik Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatan pada Ahad lalu.

“Sebenarnya sudah ada perbincangan dalam kalangan ahli keluarga diraja Pahang mengenai kedudukan Tengku Abdullah sebelum ini.

"Namun keputusan sama Tengku Abdullah akan naik takhta hanya akan diputus dan dititahkan sendiri oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Ini kerana selepas keputusan dibuat, perlu ada pewartaan dan perisytiharan mengenai perkara ini. Oleh yang demikian, keputusan segera perlu dibuat sebelum Majlis Raja-Raja bersidang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Jelas sumber itu, majoriti institusi kerabat Diraja Pahang menyokong supaya Pahang mengambil giliran bagi memegang jawatan tertinggi negara itu kerana tidak mahu negeri tersebut terlepas peluang memandangkan giliran seterusnya mungkin terpaksa menunggu dalam tempoh 40 tahun lagi.

“Memandangkan usia Tengku Abdullah kini dalam lingkungan 60 tahun, mungkin penggiliran seterusnya ketika Tuanku pada usia 100 tahun. Dalam masa yang sama jawatan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh dilantik dalam kalangan Sultan sahaja bukan pemangku,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, semakan menerusi laman web Portal Diraja Pahang mendapati Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah turut disertai Tengku Abdullah, kerabat-kerabat bergelar, kerabat-kerabat yang tidak bergelar, Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan dan Orang Besar Enam Belas.

Turut berada dalam Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri ialah Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Mufti Kerajaan Negeri.