Penagih dadah cuba rempuh pegawai AADK

Sebahagian suspek ditahan dalam operasi dilakukan AADK Kuala Muda di sekitar Sungai Petani di sini semalam.
Sebahagian suspek ditahan dalam operasi dilakukan AADK Kuala Muda di sekitar Sungai Petani di sini semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penagih dadah bertindak agresif ketika cuba melarikan diri apabila cuba ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dalam operasi di Sungai Petani di sini semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, lelaki berusia 25 tahun daripada Kampung Binjal, Pengakalan Bujang, Bedong di sini cuba merempuh beberapa anggota dan cuba melarikan diri.

Katanya, lelaki itu dapat ditahan tidak jauh dari kediamannya hasil tindakan pantas anggota Unit Penguatkuasaan AADK Kuala Muda diketuai Irdawati Abdul Hamid bersama tiga anggota.

"Ketika ditahan, berlaku pergelutan dengan lelaki yang tidak bekerja yang masih dalam ketagihan itu sebelum dia dibawa ke pejabat AADK Kuala Muda," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu didapati positif dadah jenis morphine dan methamphatamine dalam ujian saringan awal air kencing.

Menurutnya, lelaki itu antara 12 individu berusia 20 hingga 42 tahun ditahan dalam Ops Cegah Bil 97/2019 selamat hampir 10 jam itu.

"Daripada 12 lelaki ditahan, tiga didapati positif dua jenis dadah iaitu morphine dan methamphatamine, lapan orang positif dadah jenis methamphatamine dan dua lagi lelaki didapati negatif dadah," katanya.

Menurutnya, seramai 10 lelaki telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) APD 1983 Pindaan 1998.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, masyarakat diseru untuk sentiasa menjadi mata dan telinga AADK dan sentiasa bersedia membantu pihaknya dalam memerangi dadah.