Empat kematian akibat lemas direkod di Terengganu

Anggota bomba yang membuat pemantauan sedang memberi peringatan dan nasihat kepada pengunjung di Pantai Kemasik, Kemaman semalam. - Foto: JBPM Terengganu
Anggota bomba yang membuat pemantauan sedang memberi peringatan dan nasihat kepada pengunjung di Pantai Kemasik, Kemaman semalam. - Foto: JBPM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat kematian akibat lemas direkodkan di negeri ini pada musim tengkujuh kali ini bermula awal Disember sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes direkodkan di Dungun iaitu melibatkan seorang nelayan, seorang remaja perempuan dan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dan satu kes di Hulu Terengganu.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru di Hulu Terengganu membabitkan seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Cheting, Kuala Berang yang ditemui lemas ketika mandi bersama tiga saudaranya di tepi Sungai Sekayu, Kampung Sekayu, Kuala Berang, Khamis lalu.

Mohamad Shoki
Mohamad Shoki

"Susulan itu bagi mengelak tragedi meragut nyawa ini berulang, orang ramai dinasihatkan agar tidak berkunjung dan melakukan sebarang aktiviti riadah pada musim tengkujuh terutama di kawasan air terjun, sungai, tasik dan pantai.

"Kawasan berkenaan tidak selamat dikunjungi pada musim tengkujuh kerana berisiko tinggi berlaku arus deras, paras air naik dengan tiba tiba dan kepala air," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mohamad Shoki berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif dengan melakukan rondaan khususnya di kawasan pantai bagi meninjau dan memberi nasihat kepada para pengunjung untuk mencegah daripada berlaku tragedi lemas.

"Dalam kunjungan itu juga, kami turut mengingatkan kepada para pengunjung agar lebih peka dengan keadaan cuaca serta bendera merah yang dinaikkan di lokasi berkenaan sebagai tanda bahaya dan dilarang mendekati kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jelas Mohamad Shoki, melalui pemerhatian dan pemantauan dijalankan didapati masih ramai pengunjung yang berdegil dan tetap mandi terutamanya di pantai walaupun dalam masa sama nasihat serta amaran sudah diberikan.