X

Kindly register in order to view this article
!

Pecah amanah: Kerani dipenjara sehari, denda RM55,000

A
A

KUALA PILAH - [DIKEMASKINI] Seorang kerani wanita dijatuhkan hukuman penjara sehari dan didenda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini, hari ini kerana melakukan pecah amanah wang syarikat bernilai RM373,500.45 pada 2015 hingga 2018 lalu.

Hakim, Nariman Badruddin menjatuhi hukuman itu terhadap Teh Huey Huey, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM15,000 dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 15 bulan bagi pertuduhan pilihan pertama.

Untuk pilihan kedua, tertuduh dipenjara sehari dan denda RM17,000 dan sekiranya gagal bayar, boleh dikenakan hukuman 17 bulan penjara, manakala bagi pertuduhan pilihan ketiga, tertuduh dikenakan penjara selama sehari dan denda RM23,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara 23 bulan.

Bagaimanapun, Nariman menetapkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan serentak daripada tarikh jatuh hukum.

Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama, pada 1 April 2015 hingga 27 April 2017 di syarikat Gan Tian Hua beralamat di Taman Bukit Pilah Perdana, tertuduh sebagai kerani telah diamanahkan suatu harta syarikat iaitu wang syarikat bernilai RM66,900 telah melakukan pecah amanah.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, pada 2 Jun 2015 hingga 5 April 2017 di syarikat yang sama, tertuduh telah melakukan pecah amanah sebanyak RM93,400.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan ketiga, pada 25 November 2016 hingga 10 April 2018 di syarikat yang sama, tertuduh telah melakukan pecah amanah sebanyak RM213,200.45.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan ketiga-tiga kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norellysha Farhana Mohd Aris manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Aina Ardila Abd Halim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus