PTPTN kutip 2.07 bilion lebihi sasaran 2018

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMASKINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengutip sebanyak RM2.07 bilion sehingga November lalu sekali gus melebihi sasaran kutipan RM2 bilion tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, dari segi peratusan bayaran balik pinjaman menunjukkan peningkatan sebanyak 82.5 peratus berbanding hanya 81.3 peratus pada 31 Disember 2018.

"PTPTN menjangkakan angka ini akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Wan Saiful berkata, PTPTN juga berjaya membantu seramai 172, 863 penuntut yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) sehingga November lalu.

"Daripada jumlah tersebut seramai 78, 755 penuntut atau 46 peratus telah dibantu PTPTN untuk mengubah taraf hidup keluarga dengan merealisasikan cita-cita mereka ke menara gading kerana mereka merupakan kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang kurang berkemampuan," katanya.

Selain itu, katanya, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) turut memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun ini berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.

Katanya, prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding sebanyak RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun 2018.

"PTPTN menjangkakan pada sukuan keempat keuntungan pelaburan terkumpul akan terus menunjukkan prestasi yang cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sebanyak RM798 juta jumlah deposit sehingga 30 November berbanding RM671.97 juta pada tempoh sama tahun lalu.

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM126.03 juta atau 18.76%, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga November 2019 berjumlah RM5.30 bilion," katanya.

Ujarnya, sebanyak 404, 676 akaun baharu SSPN dibuka sehingga bulan sama tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4.32 juta akaun SSPN sejak dilancarkan pada tahun 2004.

PTPTN menerima dua anugerah sempena Malaysia PR Awards 2019.
PTPTN menerima dua anugerah sempena Malaysia PR Awards 2019.

Selain masih mengekalkan Pensijilan MS ISO 9001:2015, katanya, PTPTN terus melakar sejarah sepanjang tahun ini apabila diberi beberapa anugerah dan pengiktirafan daripada pelbagai agensi dan persatuan terkemuka di negara ini.

"Anugerah dan pengiktirafan tersebut meliputi, Social Media Excellence - Education Support sempena Malaysia Social Media Week (MSMW) 2019, Industry Excellence in Education Support dan Emerging Woman Leader sempena Global Leadership Awards (GLA) 2019.

"Selain itu, anugerah lain diterima ialah Top DirectDebit Merchant sempena Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA) 2019, lima Bintang Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2019 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) dan Special Award - Campaign of The Year dan Gold Award Crisis or Issues Management sempena Malaysia PR Awards 2019," katanya.

Katanya, bagi pelaksanaan manifesto Kerajaan, PTPTN secara bersungguh telah melaksanakan 75 peratus iaitu tiga daripada empat manifesto merangkumi penuntut cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang dilupuskan seluruhnya.

"Insentif cukai diberi kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam," katanya.

Katanya, perlaksanaan tersebut berjaya dibuat dengan segera memandangkan ia melibatkan bidang kuasa di pihak PTPTN.

"Penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4, 000 sebulan masih belum dapat dilaksanakan kerana melibatkan perkara di luar bidang kuasa PTPTN di samping mempunyai implikasi yang besar kepada kewangan negara.

"PTPTN telah melaksanakan tindakan yang sewajarnya termasuk mengadakan sesi libat urus dan rundingan dengan pihak berkepentingan," katanya.