PRK Kimanis: SPR hantar 29,633 kad pengundi

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 29,663 pengundi yang meliputi 29,654 pengundi biasa dan sembilan pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia adalah usaha bagi menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK Parlimen Kimanis yang ditetapkan pada 14 Januari bagi pengundian awal dan 18 Januari sebagai hari mengundi.

“Kad pengundi tersebut yang diedarkan bermula semalam (30 Disember), mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

“Pengundi yang menerima kad pengundi ini tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan dinyatakan dalam kad tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, pada hari mengundi, pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diminta membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih bagi memudahkan semakan.

Katanya, pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan berkaitan maklumat pengundian di portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. - Bernama

Artikel Berkaitan: