Mahkamah lepas, bebas bekas Naib Cancelor UPSI

Dr Zakaria dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyalah guna kuasa membabitkan lantikan jawatan anak lelakinya, lima tahun lalu.
Dr Zakaria dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyalah guna kuasa membabitkan lantikan jawatan anak lelakinya, lima tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini melepas dan membebaskan bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada tuduhan salah guna kuasa membabitkan lantikan jawatan anak lelakinya, lima tahun lalu.

Hakim, S Indra Nehru membebaskan Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa, 62, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya Indra berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mengambil kira semua keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Dr Zakaria didakwa menggunakan jawatannya iaitu Naib Cancelor bagi perkara yang mempunyai kepentingan dengan mengarahkan Pendaftar UPSI memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi Zakaria untuk dipanggil temuduga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik Pejabat Naib Cancelor UPSI antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 24 Jun sehingga 12 September 2014 lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Dr Zakaria diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan, Noor Hidayah Mohd Saad dan Mohd Khairul Fairuz Rahman.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 17 saksi memberi keterangan.

Pada 27 November tahun lalu, Dr Zakaria yang juga Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif UPSI mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dengan melantik anak serta menantunya untuk dua jawatan di UPSI pada 2014.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Naib Canselor Upsi didakwa salah guna kuasa

Bagaimanapun, pada prosiding perbicaraan 20 Jun lalau, pihak pendakwaan meminda pertuduhan kepada satu pertuduhan sahaja.