Imbasan 2019: Berita mahkamah

No Image Caption
A
A
A

4 JANUARI 2019 - Mahkamah benarkan perbicaraan bersama Najib, Arul

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan secara bersama membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membuat keputusan selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan, Tan Sri Gopal Sri Ram pada prosiding sebutan kes itu.

21 FEBRUARI 2019 - Kes Zahid pindah ke Mahkamah Tinggi

KES Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan nilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Ahmad Zahid, 66, menerusi peguamnya Hisyam Teh Poh Teik agar kes itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan telah membuat permohonan menurut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah. Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairi tidak membantah terhadap permohonan itu.

4 MAC 2019 - Balu bekas CEO Cradle Fund dituduh membunuh

BALU kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh suaminya Jun tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Turut didakwa bersama Samirah Muzaffar, 44, ialah dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 13 dan 16 tahun. Samira yang berada di kandang tertuduh hanya mengangguk faham selepas dibacakan pertuduhan.

No Image Caption

27 SEPTEMBER 2019 - Kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah

KEMATIAN anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

No Image Caption

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan dada dialami Muhammad Adib adalah disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

10 OKTOBER 2019 - Dua ADUN antara lelaki ditahan terbabit LTTE

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan adalah antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit.

28 OKTOBER 2019 - Jurujual wanita bebas tuduhan memandu melulu

MAHKAMAH Majistret melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dua tahun lalu.

Majistret Siti Hajar Ali, membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

No Image Caption