'Tangguh PSP beri dua hikmah kepada rakyat'

Gambar kecil: Prof Dr Barjoyai Bardai
Gambar kecil: Prof Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menangguhkan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya dilaksanakan Januari ini adalah tepat dan sesuai dengan situasi semasa.

Pakar Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, keputusan penangguhan tersebut memberi dua hikmah utama yang bermanfaat kepada rakyat.

Pertama menurutnya, langkah itu bertepatan dengan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Satu dua minggu ini harga minyak mentah dunia meningkat daripada AS$60 kepada AS$68 setong dan berkemungkinan terus meningkat sehingga AS$70 setong.

“Jika diambil kira kenaikan lebih 15 peratus ini, rakyat akan terkejut dengan harga minyak R0N95 yang akan diapungkan nanti. Maka keputusan penangguhan PSP adalah tepat dan bagus.

“Kerajaan mungkin akan melihat harga pasaran minyak mentah dunia reda (turun) dalam sedikit masa lagi barulah sesuai dilancarkan (PSP),” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tangguh pelaksanaan Program Subsidi Petrol

Barjoyai berkata, hikmah kedua adalah dapat memberi ruang kepada kerajaan mengkaji semula bagi menyelaras kaedah pemberian subsidi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat dua skim berbeza membabitkan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana.

“Satu dengan pemberian terus ke dalam akaun dan satu lagi melalui kad.

“Saya rasa ini akan menimbulkan isu keresahan dan ketidaktentuan.

“Apabila ditangguhkan, ia sepatutnya digunakan sebagai satu masa untuk mengkaji semula dengan menggabung dan menyelaraskan kedua-dua skim tersebut,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini mengumumkan keputusan kerajaan menangguhkan PSP seperti yang dicapai pada mesyuarat Kabinet 18 Disember lalu bagi memberi ruang terhadap penyelesaian dua perkara utama.

Antaranya merangkumi sesi penerangan dan penjelasan yang masih diteruskan kepada rakyat bagi memastikan kefahaman sewajarnya mengenai PSP berupaya diperoleh sekali gus melancarkan mekanisme pelaksanaan program terbabit.