X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Rapuhnya nilai cinta tanah air kita

Gambar hiasan -Foto 123RF
A
A

SEMANGAT cintakan tanah air merupakan aspek yang sentiasa perlu ada dalam jati diri masyarakat bagi memastikan keluhuran dan kestabilan sesebuah negara itu kekal terjamin.

Hilangnya semangat patriotisme akan mengakibatkan timbulnya keretakan kedamaian sesebuah negara.

Jika ada yang mengatakan semangat cintakan tanah air bermula daripada sekolah, penyataan sedemikian adalah dusta semata.

Patriotisme perlu bermula dari rumah, ia perlu dipupuk sejak dari kecil, mengenali apa itu Jalur Gemilang, bangsa yang ada di Malaysia, kepelbagaian kebudayaan yang terkandung di dalamnya, semua itu harus dipupuk dalam diri setiap anak-anak.

Jika kita lihat sejak akhir-akhir ini, pelbagai isu yang timbul seolah-olah menampakkan semangat cinta akan tanah air, patuh kepada Rukun Negara telah pudar.

Pada 20 Ogos lalu, Pertubuhan Pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersama lapan badan lain terus menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dalam isu pembelajaran tulisan jawi untuk pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) di negara ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan keputusan Kabinet yang memutuskan pembelajaran tulisan jawi hanya akan dijalankan jika mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dong Zong berkata, keputusan tersebut akan menimbulkan pelbagai masalah malah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Jika dilihat kembali akan apa yang menjadi ketidakpuasan hati Dong Zhong, ia sebenarnya langsung tidak mempunyai asas yang kukuh.

Tulisan jawi sememangnya salah satu daripada unsur yang ada di Malaysia sejak zaman-berzaman.

Tindakan Dong Zhong ini sekali gus menerima kecaman pelbagai pihak sehinggakan Pemuda (Armada) Bersatu melancarkan petisyen atas talian bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman Dong Zong.Sebelum ini, Exconya, Muzzammil Ismail menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.Mendesak

“Sebelum ini, mereka lantang menjadi persatuan yang mendesak kerajaan terutama (Menteri Pendidikan) Dr Maszlee (Malik) untuk mengiktiraf UEC (Sijil Pendidikan Bersepadu).

“Hari ini Dong Zong menekan kerajaan menggunakan pelbagai tuntutan. Tindakan menggerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi adalah suatu tindakan tersusun yang amat jahat dalam menggugat warisan Malaysia, kami rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Mengapa perkara ini berlaku sedangkan Malaysia sudah mencapai 62 tahun merdeka, di mana silapnya, adakah konsep pembinaan sebuah negara yang mana keseluruhan rakyatnya setia dan patuh kepada prinsip sesebuah negara sudah luntur?

Segala persoalan ini perlu dirungkai dan dikaji secara menyeluruh.

Harus diingat, negara ini menikmati kemakmuran secara bersama hasil perjuangan rakyat berbilang bangsa dan sejarah ini tidak perlu dinafikan.

Perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini didakwa tidak pernah utuh sejak negara mencapai kemerdekaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, perpaduan yang digembar-gemburkan itu hanya wujud pada tahap sosial.

“Maknanya, pergaulan sesama kaum terhad kepada kegiatan yang rasmi sahaja. Contohnya, pada sambutan Hari Kebangsaan, kita selitkan persembahan Cina, Melayu, India serta etnik Sabah dan Sarawak.

“Kita cuba pamerkan kepada kita sendiri dan kepada pelancong bahawa itulah perpaduan. Maknanya, perpaduan diada-adakan untuk tujuan rasmi sahaja dan secara peribadinya jarang kita lihat ada persahabatan antara kaum yang begitu tulen dan muhibah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih parah apabila wujud defisit kepercayaan khususnya melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

Pelbagai usaha dan inisiatif untuk memperbetulkan dan memupuk kembali nilai perpaduan dan semangat cinta negara bukan saja menjadi tanggungjawab pemerintah namun sebagai rakyat, kita harus bersama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warga yang cinta akan tanah air.

* Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!