Hina Agong, perlu lucut kerakyatan?

CLKM diwujudkan selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Ahad lalu khusus buat netizen yang membuat kenyataan di media sosial yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
CLKM diwujudkan selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Ahad lalu khusus buat netizen yang membuat kenyataan di media sosial yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah laman Facebook, Calon Lucut Kewarganegaraan Malaysia - CLKM diwujudkan dengan menyenaraikan beberapa nama rakyat Malaysia yang boleh dilucutkan kerakyatan.

Calon yang disenaraikan adalah netizen yang membuat kenyataan di media sosial khususnya bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

Laman Facebook itu diwujudkan Ahad lalu, selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Ahad lalu.

CLKM yang setakat ini mempunyai pengikut lebih 6,000 orang itu menyenaraikan beberapa pengguna Facebook yang membuat kenyataan jelek menghina Sultan Muhammad V, institusi raja dan agama Islam.

Dalam senarai yang dipaparkan, terdapat tujuh individu yang senaraikan menjadi calon supaya kerakyatan mereka digugurkan termasuklah individu digelar Eric Liew yang membuat komen jelek terhadap Sultan Muhammad V.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi Sinar Harian setuju jika tindakan keras dan tegas dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang didapati bersalah menghina institusi raja.

Katanya, senario semasa memperlihatkan betapa wujud segelintir warga yang tidak bertanggungjawab bahkan langsung tiada hormat pada institusi berkenaan.

"Ini lantaran longgarnya ketegasan kerajaan dan ringannya hukuman yang ada dalam mempertahankan institusi negara ini," katanya, semalam.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya undang-undang yang lebih diketat digubal bagi memastikan martabat dan maruah institusi Raja-Raja Melayu yang merupakan institusi tertinggi negara dan lambang kedaulatan Islam terus terpelihara.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin berkata, biarpun tidak bersetuju dengan tindakan individu yang biadap menghina institusi raja, sebarang siasatan atau tindakan perlulah melalui undang-undang sedia ada.

Katanya, siasatan melalui undang-undang sedia ada perlu dilakukan supaya tiada pihak yang bertindak melulu.

"Negara kita mempunyai undang-undang dan tindakan yang perlu diambil juga haruslah diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Namun, ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak setuju sebarang penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau sultan. Ini kerana, kita memandang tinggi terhadap institusi diraja dan perlembagaan negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sedar Malaysia (Sedar), Nazrin Norani berkata, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk memberi pendidikan atau kempen kesedaran mengenai etika di media sosial.

Katanya, undang-undang sedia ada boleh diperuntukkan terhadap mana-mana pelaku yang membuat kenyataan sehingga mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau mereka tahu hukuman, mereka tidak akan berani untuk membuat sebarang kenyataan atau provokasi melampau,” katanya.

Cuma apa yang berlaku hari ini dakwanya adalah wujud kelemahan daripada segi penguatkuasaan daripada pasukan keselamatan itu sendiri.