Perbicaraan MH17 diharap mampu beri keadilan kepada keluarga mangsa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding mahkamah bagi meneliti tanggungjawab jenayah dalam insiden menembak jatuh penerbangan MH17 Malaysia Airlines, yang bermula pada Mac tahun depan diharap mampu menamatkan penantian waris, anggota keluarga dan sanak-saudara mangsa untuk mendapatkan keadilan.

Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo berkata, beliau percaya perkembangan baharu itu akan membantu mendapatkan keadilan untuk kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat malang tersebut, termasuk 15 anggota kru yang telah terkorban.

"Selepas lebih lima tahun penyiasatan, perbicaraan itu akan menjadi satu pencapaian yang penting dalam menamatkan penantian anggota keluarga serta sanak-saudara mangsa, " katanya kepada Bernama selepas menganjurkan majlis makan tengah hari akhir tahun untuk wartawan dan editor agensi berita itu di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, telah ditembak jatuh ketika melewati Donetsk di Ukraine.

Pasukan penyiasat bersama antarabangsa (JIT) yang diketuai Belanda telah merumuskan bahawa MH17 telah ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro-Rusia (terlibat dalam konflik dengan Ukraine) yang melancarkan peluru berpandu anti-pesawat BUK.

Pada Jun 2019, JIT yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine telah mengumumkan bahawa empat individu – tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine – akan didakwa dalam insiden menembak jatuh MH17.

Pada 19 Jun, Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda telah mendakwa mereka atas pertuduhan membunuh.

Waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadap tertuduh yang dijangka dibicarakan tanpa kehadiran pada 9 Mac 2020 di Mahkamah Daerah The Hague.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Nechytaylo berkata Ukraine, yang merupakan antara pengeksport dan pengeluar utama minyak matahari dan tanaman biji-bijian, telah mengeksport minyak matahari ke Malaysia sebelum dieksport semula ke negara lain.

"Ukraine juga ingin mempelajari beberapa amalan terbaik Malaysia dalam menguruskan jemaah Haji ke Makkah kerana terdapat kira-kira dua juta orang Islam yang menetap di Ukraine," kata duta itu yang kini bertugas di Kuala Lumpur bagi tempoh tiga tahun.

Mengulas ketibaan pelancong dari Ukraine ke Malaysia, beliau berkata, purata kira-kira 1,000 orang dari Ukraine berkunjung ke Malaysia setiap bulan, yang mencatat pertumbuhan sebanyak 10 peratus setahun.

"Sebagai sebahagian daripada program kami untuk tahun depan, kami juga merancang mengadakan Festival Filem Ukraine untuk para penonton wayang di Malaysia dengan membawa beberapa filem terbaik," katanya sambil menambah bahawa Ukraine menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak empat peratus tahun ini. - Bernama