Institusi beraja tonggak kedaulatan Malaysia

Dr Rais Yatim
Dr Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak sekali-kali memperlekeh atau merendahkan martabat Institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja kerana ia adalah tonggak kedaulatan Malaysia.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang memberi peringatan ini, berkata pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk menjadi jaguh dalam perkara ini.

Katanya, peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 tidak wajar dipolitikkan selain semua pihak perlu lebih prihatin dan cermat dalam sebarang tindakan supaya tidak menjejaskan institusi beraja serta nama negara.

"Jangan juga ada pihak cuba merendahkan martabat baginda kerana jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai yang tertinggi dan istimewa bagi Malaysia.

“Saya dapati semua urusan dalam peristiwa ini (peletakan jawatan baginda) dalam keadaan teratur di sisi perlembagaan. Tidak perlu untuk mana-mana pihak cuba menjuarakan sesuatu isu jauh sekali merendahkan martabat Tuanku di media sosial.

“Namun begitu, terdapat mereka yang sengaja melahirkan pandangan tidak membina dan sekali-kali tidak menyumbang kepada situasi keharmonian negara. Tindakan tegas wajar diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Sultan Muhammad V yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah pada 13 Disember 2016, meletak jawatan berkuatkuasa Ahad.

Peletakan jawatan itu adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Artikel Berkaitan:

TINDAKAN TEGAS

Mengulas lanjut, Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, dalam usaha mengekang perkara yang disifatkan tidak bermoral itu, MCMC boleh mengambil tindakan khas di bawah seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ia terpulang pada kementerian untuk menggunapakai mana-mana seksyen yang sesuai yang penting perkara ini dapat dibanteras dan diselesaikan. Kita mesti tegas dalam perkara ini dengan mengenakan tindakan undang-undang lebih-lebih lagi dalam era dunia siber hari ini.

“Perbuatan bersifat provokasi apatah lagi menghina Yang di-Pertuan Agong sepatutnya dikawal di peringkat pencegahan dengan memantau laman sesawang atau halaman yang bersifat menghasut dan memecahbelahkan masyarakat. Kita perlu buktikan kepada rakyat dan negara termasuk dunia luar bahawa kita tegas dalam soal ini,” katanya.

Menyifatkan tindakan segelintir rakyat yang bukan sahaja tidak menghormati bahkan mempermainkan institusi beraja di negara ini tidak boleh dipandang ringan, beliau berkata kefahaman berhubung konsep raja berperlembagaan perlu dititikberatkan.

“Kita tak boleh ambil ringan (soal provokasi dan menghina Yang di-Pertuan Agong). Ini bukan sebab sebatang tubuh Raja di Istana Negara, tetapi batang tubuh itu jika diterjemah adalah seluruh rakyat negara ini. Mereka yang bertindak memperlekeh institusi beraja bagaimanapun tidak melihat Yang di-Pertuan Agong sebahagian daripada kewibawaan Malaysia dengan kita sebagai rakyatnya,” jelasnya.

ETIKA DALAMAN

Tidak menolak institusi raja pada masa sama perlu memperhalusi peristiwa sejarah yang berlaku ini, beberapa pendekatan mungkin boleh dipertimbangkan.

Antaranya termasuklah peranan institusi itu sendiri dalam memastikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen tetap subur dalam menghadapi zaman yang kian mencabar, generasi muda dan mereka yang datang dari negara luar dan menetap di negara ini yang tidak memahami konsep berkenaan.

“Raja-raja mesti mewujudkan etika dalaman, mesti ada disiplin dalam institusi itu. Mereka yang lebih berpengaruh perlu memainkan peranan besar dan menjadi perisai bagi melindunginya daripada dicemari.

“Raja dan rakyat perlu bekerjasama bagi memastikan institusi raja terus hidup subur dan tidak diperlekeh oleh mana-mana pihak yang bukan sahaja tidak berminat (dengan intitusi raja) bahkan tidak mempunyai kewibawaan untuk mempertahankannya,” katanya.

Menyentuh kewibawaan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Negara, Rais berkata “Sedangkan Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan dengan rela atas sebab-sebab tersendiri, inikan pula pihak-pihak lain yang memegang jawatan awam.

“Sekiranya sudah ada ‘titik bengik’ atau faktor-faktor negatif maka seharusnya lekas-lekaslah kita muhasabah diri dan bertindak demi kebaikan rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

TIDAK LANGGAR PERLEMBAGAAN

Mengulas isu sama, penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, sebarang spekulasi antaranya mengapa Agong meletak jawatan dan siapa pengganti baginda perlu dihentikan kerana apa yang berlaku bukanlah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga bukanlah sesuatu yang luar biasa meskipun tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara ia dilakukan dengan penuh adab sopan. Proses penggantian juga dilakukan mengikut ketetapan perlembagaan jadi tidak timbul isu yang sengaja memberi gambaran buruk terhadap apa yang sedang berlaku lebih-lebih lagi terhadap institusi beraja.

“Kerajaan perlu bertindak segera menangani pihak yang menghina institusi beraja kerana keghairahan itu jika tidak dikawal akan menjadi budaya serta mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. Akta berkenaan juga boleh dipinda dengan memasukkan klausa penghinaan terhadap institusi beraja seperti yang dilakukan di Thailand bagi memastikan rakyatnya lebih berwaspada apabila menyentuh soal institusi beraja,” jelas beliau.

Ahmad Martadha yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia pada masa sama berpendapat rakyat perlu dididik bahawa kesetiaan kepada raja dan negara adalah sebahagian daripada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V, Ketua negara baharu Malaysia akan diketahui pada 24 Januari ini selepas Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 daripada kalangan raja-raja Melayu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat khas bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan timbalannya itu diputuskan oleh Raja-raja dalam pertemuan di Istana Negara, pada Isnin (7 Januari).

Dalam tempoh kekosongan takhta itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah akan memangku jawatan berkenaan sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baharu selesai.

Pertemuan itu turut menetapkan 31 Januari sebagai tarikh Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong baharu dan timbalannya. - Bernama