Mengamuk mahu tilam baharu

Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris
Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki bertindak merosakkan lantai mozek dan kotak suis rumah keluarganya gara-gara tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan ibunya terhadap permintaan untuk membeli tilam baharu.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu, di sebuah rumah di Bukit Payong di sini.

Menurut sumber, ketika kejadian, suspek yang berusia 32 tahun berada di rumah bersama ibunya yang berusia 59 tahun.

"Suspek yang ketika itu dalam keadaan marah, mendekati ibunya lalu meminta agar membeli tilam baharu untuk biliknya.

"Mangsa memaklumkan akan membelinya, namun anaknya naik angin disebabkan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

"Dia kemudian meluru ke dapur dan mencapai lesung batu sebelum merosakkan dua keping lantai mozek dan kotak suis lampu dapur rumah," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai seorang penagih dadah dan kerap mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah mereka.

Bimbang keselamatan dirinya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Payong untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.