Aweta: Peserta dijangka tiba di South Pole Station esok

Setakat ini, ketiga-tiga peserta itu telah berjalan lebih 33 kilometer bagi menakluki Kutub Selatan. - Foto FB Aweta
Setakat ini, ketiga-tiga peserta itu telah berjalan lebih 33 kilometer bagi menakluki Kutub Selatan. - Foto FB Aweta
A
A
A

SHAH ALAM - Peserta ekspedisi eksklusif wanita ke Antartika, ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta), dijangka tiba di South Pole Station di Kutub Selatan, esok.

Ketua ekspedisi itu, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menerusi entri terbaharu di laman Facebook rasmi Aweta berkata, ketiga-tiga peserta ekspedisi itu kini berada di laluan terakhir sebelum dijangka tiba di stesen berkenaan kira-kira jam 2 petang esok waktu Antartika.

"Mereka kini berada di laluan terakhir untuk sampai ke South Pole sebelum memulakan misi mencari kapsul yang ditanam pada tahun 2004.

"Setakat jam 10.02 malam Ahad waktu Antartika (hari ini, 9.03 pagi waktu Malaysia), ketiga-tiga peserta berada dalam keadaan keletihan dan mereka akan dibenarkan mendirikan khemah dan berehat lebih awal sebelum meneruskan perjalanan semula, esok pagi," katanya.

Aweta bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan. - Foto Bernama
Aweta bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan. - Foto Bernama

Beliau berkata, walaupun keadaan kesihatan peserta ekspedisi tersebut tidak mengizinkan untuk meneruskan perjalanan sebelum ini berikutan cuaca sejuk ekstrem dan tekanan graviti, namun mereka berjaya mengatasi halangan dan cabaran tersebut.

Sharifah Mazlina berkata, setakat ini, ketiga-tiga peserta itu telah berjalan lebih 33 kilometer bagi menakluki Kutub Selatan dengan tujuan mencari dan membawa pulang kapsul yang ditanamnya di kawasan tersebut pada tahun 2004.

Kumpulan itu memasuki Antartika kira-kira 2 pagi (waktu Malaysia) pada 25 Disember lepas.

Artikel Berkaitan:

Misi yang dijadual sehingga Jumaat ini melibatkan tiga peserta iaitu anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31. - Bernama