Apa matlamat penubuhan Universiti Johor?

Mohamad Afiq Mohd Alim
Mohamad Afiq Mohd Alim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dewan Muda Johor (DMJ) menyambut baik cadangan untuk mewujudkan sebuah lagi universiti awam di negeri ini.

Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Kerjayanya, Mohamad Afiq Mohd Alim berkata, langkah tersebut sudah tentu ia dapat memberikan lebih banyak peluang untuk anak muda melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa keraguan terhadap komitmen dan matlamat sebenar penubuhan Universiti Johor ini.

"Pertama, apakah matlamat sebenar penubuhan Universiti Johor? Adakah ia satu lagi lontaran janji daripada Kerajaan PH yang sekadar mahu memperlihatkan perancangan yang gah.

"Tetapi, sedangkan pada hakikatnya mahu menubuhkan dan meletakkan matlamat penubuhan sesuatu universiti baharu bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Afiq berkata, kedua, apakah jenis Universiti Johor yang mahu dibangunkan oleh pihak kerajaan.

"Untuk pengetahuan di Johor sahaja telah wujud banyak institut pengajian tinggi awam.

"Ini temasuklah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, UiTM Segamat, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, Kolej Pengajian Islam, dan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor.

Artikel Berkaitan:

"Malah di Kota Iskandar juga telah wujud EduCity Hub yang menempatkan universiti swasta dalam dan luar negara yang membuka kampus mereka di Johor," katanya.

Beliau berkata, ini semua bukan sahaja telah memberi peluang kepada anak Johor semata-mata, malah kepada seluruh anak muda di seluruh negara.

"Ketiga, siapa yang akan menanggung kos perbelanjaan dan operasi Universiti Johor kelak?

"Untuk membangunkan universiti yang baik perlu mempunyai pensyarah yang terbaik, suasana pembelajaran yang kondusif serta fasiliti bertaraf universiti yang perlu diambil kira.

"Semua itu memerlukan kos perbelanjaan yang besar. Kami khuatir, akhirnya kerajaan negeri dan mahasiswa yang bakal menanggung kos untuk menguruskan Universiti Johor," katanya.

Ujarnya lagi, jika benar kerajaan PH benar-benar mahu menterjemahkan janji dan menjadi negara yang memberikan pendidikan percuma, pihaknya mencadangkan agar Universiti Johor dijadikan 'pilot project' ke arah pendidikan percuma.

"Berikan pendidikan percuma untuk semua mahasiswa yang menjadi pelajar di Universiti Johor kelak," katanya.

Terdahulu, baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah lagi universiti awam di Johor.