Liga M3 2020: KSR Sains mantapkan persediaan pasukan

KSR Sains bertekad memberikan impak positif bagi penampilan sulung di pentas Liga M3 2020. - Facebook Amateur Football League
KSR Sains bertekad memberikan impak positif bagi penampilan sulung di pentas Liga M3 2020. - Facebook Amateur Football League
A
A
A

JUARA sulung Liga M4, KSR Sains kini sedang berusaha untuk mendapatkan pemain-pemain berpotensi terutamanya bakat muda untuk memastikan penampilan mereka di Liga M3 2020 memberikan impak besar dalam saingan itu.

Ketua jurulatihnya, Syed Mazlan Syed Zubir berkata, pasukan yang berasal dari Negeri Sembilan itu, akan cuba berbincang dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) bagi mendapatkan pemain berkualiti yang berasal dari negeri itu untuk memperkukuhkan pasukan.

Sekiranya faktor kewangan mengizinkan, Syed Mazlan turut berharap pihak pengurusan juara Piala Presiden PBNS itu, mampu mendapatkan dua tenaga import bagi memastikan mereka mampu memberikan saingan yang mantap dalam divisyen tiga itu.

“Kami akan perhalusi beberapa kekurangan dalam pasukan kerana KSR Sains memang cukup serius selepas muncul juara saingan perlawanan semula untuk mara ke Liga M3, yang saya harap mampu jadi pemangkin semangat kepada semua pihak,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

KSR Sains muncul juara Liga M4, yang disertai oleh 16 pasukan, selepas mencatatkan kemenangan tipis ke atas Ikram Muda FC, menerusi jaringan tunggal pemain gantian, Norfaizzal Faroq Zainuddin pada minit ke-89 pada aksi akhir di Stadium UiTM, Shah Alam, di mana kedua-dua finalis sudah mengesahkan slot ke Liga M3.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Ikram Muda FC, Mohd Fauzan Yunos yang terpaksa berputih mata apabila pasukannya terlepas kejuaraan itu selepas menguasai hampir 70 peratus perlawanan dan terlepas beberapa peluang keemasan, mahu anak buahnya fokus dalam persediaan menghadapi cabaran yang lebih sengit pada Liga M3, tahun depan.

“Inilah konsep bola sepak, jaringan yang menentukan keputusan. Bagaimanapun kami tetap teruja mampu melangkah ke perlawanan akhir dan daripada sini, Ikram Muda FC sedia melangkah jauh.

“Objektif kami mahu berikan peluang kepada pemain-pemain yang mungkin terlepas peluang untuk beraksi di peringkat profesional bagi menunjukkan kebolehan mereka di samping saya percaya ia perlu dibantu pengurusan serta perancangan yang baik,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: