Pegawai SPRM buat laporan isu pukul anggota polis

Latheefa
Latheefa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan tiga anggota polis diserang oleh pegawai SPRM ketika siasatan dijalankan di Pejabat SPRM, Shah Alam baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, laporan polis telah dibuat oleh pegawai SPRM tersebut yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan bertoleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan.

"Semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis dakwa cedera dipukul pegawai SPRM

Menurutnya, SPRM telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek.

"Dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

"SPRM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

Terdahulu ketiga-tiga anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun itu telah hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes dikendalikan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lepas.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ketiga-tiga anggota pada 27 Disember, berkenaan pegawai SPRM melakukan kekerasan ketika menjalankan proses merakam percakapan.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan yang tiga anggota itu membuat laporan berkenaan.