Padi hampa: Petani rugi RM400,000

Abdul Yunus (kanan) ketika meninjau keadaan tanaman padi milik pesawah dalam lawatan kerjanulya di Parit Hj Yusof Simpang 3 Kuala Kurau hari ini.
Abdul Yunus (kanan) ketika meninjau keadaan tanaman padi milik pesawah dalam lawatan kerjanulya di Parit Hj Yusof Simpang 3 Kuala Kurau hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sekumpulan petani terpaksa membakar hasil tuaian atau beri kepada ayam apabila simptom padi hampa melanda 62 hektar jelapang padi di Kerian di sini hingga menyebabkan kerugian lebih RM400,000.

Keadaan yang dikesan berlaku pada musim tuaian awal Disember lalu sehinggakan ada kilang menolak hasil tuaian mereka itu menjejaskan lebih 70 peratus pendapatan pesawah pada musim ini, malah dianggap terburuk dalam tempoh 50 tahun.

Ketua Unit Parit Hj Samsuri dan Parit Hj Yusof, Md Hambali Md Arshad berkata, setakat ini seramai 35 petani di kawasan kompartmen B dan C iaitu di Parit Gumpong, Parit Tanjung Piandang, Parit Hj Manan, Parit Mad Ali, Parit Sungai Baru, Parit Hj Samsuri dan Parit Hj Yusof dikesan terjejas.

"Padi hampa ini dari jauh memang nampak elok tetapi sebenarnya tak ada apa. Bila masak sahaja, tengok-tengok dalamnya kosong dan tiada isi. Ada yang bawa hasil tuaian ke kilang, pihak kilang tolak dan jika ada yang sudi ambil pun, mereka mengenakan potongan yang tinggi antara 50 hingga 70 peratus.

"Sebab itu ada beberapa petani yang sudah buntu, akhirnya bawa pulang hasil ke rumah, cara lain mereka bakar atau bagi sahaja ayam makan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkaa demikian ketika lawatan kerja Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari di Parit Hj Yusof Simpang 3 Kuala Kurau hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Pegawai Pertanian Daerah, Ridhuan Osman.

Md Hambali berkata, masalah itu pernah berlaku pada musim sama tahun lalu, namun melibatkan kawasan bendang seluas 6 hektar sahaja.

Artikel Berkaitan:

Md Hambali Md Arshad
Md Hambali Md Arshad

Menurutnya, berbeza kali ini apabila pesawah hanya memperoleh hasil yang sangat minimum hinggakan sebahagiannya tidak mampu untuk membayar semula kos tanaman untuk musim depan.

"Untuk proses kawalan dan baik pulih, kita juga perlukan modal, jadi kita rayu kepada kerajaan negeri dan pihak berwajib untuk memberi sedikit bantuan kepada petani di sini.

"Kita juga berharap langkah sewajarnya diambil bagi mengelak keadaan sama berlaku lagi, jika ia berterusan pada musim seterusnya, pesawah di sini akan hidup susah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, tinjauan dilakukan Jabatan Pertanian Daerah dan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian mendapati tanaman padi yang terlibat mempunyai penyakit bakteria hawar bulir atau Bacteria Panicle Blight (BPB) menyebabkan bulir padi tiada isi atau hampa.

"Sembilan sampel dihantar ke makmal Jabatan Petanian Kuala Lumpur untuk pengesahan penyakit dan satu daripada punca simptom tersebut disebabkan penggunaan benih padi tidak sah dan tidak berkualiti.

"Kerajaan negeri akan beri perhatian terhadap isu ini, satu daripadanya mengaktifkan kembali kempen penggunaan dan rawatan padi benih sah," katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, didapati sebahagian besar petani di beberapa lokasi di negeri ini masih menggunakan benih padi tidak sah untuk penanaman menyebabkan penyakit mudah merebak.

"Bagi kawalan dan pencegahan, beberapa tindakan sudah dan akan diambil antaranya menyarankan petani berusaha untuk menebas tunggul jerami bagi pembakaran lebih sempurna jerami pad," katanya.

Katanya, Jabatan Pertanian juga akan menggerakkan Majlis Penerangan khusus untuk pencegahan penyakit BPB ini bagi persiapan aktiviti tanaman musim hadapan.

"Kita juga akan membuat beberapa pemerhatian khusus kawalan dan pencegahan seperti pengurusan agronomi, penggunaan racun terkawal dan pengurusan nutrien yang tepat.

"Diharap langkah-langkah awal yang diambil pada musim hadapan akan membantu mengurangkan infestasi atau serangan penyakit ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Padi musnah dirosakkan ulat putih

IADA Seberang Perak serius tangani ulat putih