Perhilitan buru babi hutan berkeliaran di kawasan perumahan

Tular di media sosial beberapa keping gambar babi hutan yang sedang berkeliaran di kawasan perumahan termasuk di kawasan parkir di Taman Desa Jati.
Tular di media sosial beberapa keping gambar babi hutan yang sedang berkeliaran di kawasan perumahan termasuk di kawasan parkir di Taman Desa Jati.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan sedang menjalankan operasi memburu babi hutan yang berkeliaran di kawasan perumahan di Taman Desa Jati, Acacia Park, Nilai, dekat sini, seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi mengurangkan populasi haiwan itu sekaligus memastikan haiwan ini tidak mendatangkan gangguan atau ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.

Arul yang juga Pengerusi Jawatankuasa bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, gangguan babi hutan di kawasan perumahan ini menjadi lebih serius sejak kebelakangan memandangkan kawasan-kawasan hutan di Nilai ini sudah dibangunkan menyebabkan haiwan ini keluar dan merayau di kawasan perumahan.

“Isu ini memang ada, kita terima aduan juga di mana ia turut berlaku di sekitar Bandar Baru Nilai bukan sahaja di Taman Desa Jati dan antara puncanya disebabkan banyak kawasan hutan telah dibangunkan.

“Selain itu, ada juga kes di mana kawasan perumahan mereka terletak berhampiran dengan kawasan semak atau hutan kecil yang memudahkan kawasan perumahan mereka didatangi haiwan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Arul berkata, Jabatan Perhilitan telah memasang perangkap sangkar di beberapa kawasan yang sering didatangi haiwan ini dan hari ini pihaknya telah berjaya menangkap seekor babi hutan.

“Kita akan pastikan operasi ini dibuat secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk kekal terjamin,” katanya.

Semalam, tular di media sosial di mana seorang pengguna Facebook telah memuat naik beberapa keping gambar babi hutan yang sedang berkeliaran di kawasan perumahan termasuk di kawasan parkir di Taman Desa Jati.

Artikel Berkaitan:

Individu berkenaan dalam perkongsiannya itu turut mendakwa tiada sebarang tindakan dibuat meskipun pelbagai aduan telah dibuat. - Bernama