AS, Somalia lancar serangan udara ke atas al-Shabaab

Militan al-Shabaab - Foto fail
Militan al-Shabaab - Foto fail
A
A
A

MOGADISHU - Amerika Syarikat (AS) dan Somalia melancarkan tiga serangan udara menyasarkan al-Shabaab yang menyebabkan empat anggota kumpulan militan itu terbunuh, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Pusat Perintah AS Afrika pada Ahad.

Kenyataan itu menyebut tindakan ketenteraan memfokus kepada sekutu al-Qaeda iaitu militan al-Shabaab di dua lokasi: Qunyo Barrow dan Caliyoow Barrow.

Kenyataan itu berkata, penilaian awal merumuskan bahawa kedua-dua serangan udara telah menyebabkan dua pengganas terbunuh dan memusnahkan dua kenderaan di Qunyo Barrow manakala satu lagi serangan udara menyebabkan dua pengganas maut di Caliyoow Barrow.

Menurut kenyataan itu, penilaian semasa menunjukkan tiada orang awam cedera atau terbunuh dalam serangan udara tersebut dan menegaskan bahawa kesemua serangan udara ini menyasarkan militan al-Shabaab yang bertanggungjawab melakukan keganasan terhadap rakyat Somalia yang tidak bersalah selain bersekutu dengan al-Qaeda.

“AS dan Kerajaan Persekutuan Somalia akan terus meningkatkan tekanan terhadap organisasi pengganas itu dalam usaha menghalang mereka daripada merancang serangan pengganas,” katanya.

Langkah itu menyusuli serangan bunuh diri pada Sabtu di ibu kota Somalia, Mogadishu, di mana militan al-Shabaab telah membunuh hampir 80 orang, termasuk dua rakyat Turki.

Al-Shabaab telah mencetuskan kekacauan di Afrika Timur dan menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh.

Pada 2017, militan al-Shabaab telah menyebabkan lebih 580 orang terbunuh dalam pengeboman berkembar menggunakan trak di Mogadishu. - Bernama

Artikel Berkaitan: