Suspek kes ragut maut terperosok bawah kereta

Suspek kes ragut yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia.
Suspek kes ragut yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia.
A
A
A

PUCHONG - Seorang suspek kes ragut maut selepas terperosok bawah kereta dalam kejadian di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri di sini, pada jam 6.24 petang semalam.

Sebelum kejadian suspek yang menunggang sebuah motosikal dipercayai telah meragut rantai emas daripada seorang lelaki ketika mangsa ingin masuk ke dalam kereta.

Suspek sempat melarikan diri sebelum motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan kereta mangsa ragut itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, motosikal yang ditunggang suspek dipercayai melawan arus dan berhenti di tepi jalan secara mengejut.

Beliau berkata, pemandu kereta yang juga mangsa ragut berusia 44 tahun itu tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal suspek hingga menyebabkan suspek terjatuh.

"Suspek yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Serdang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 7.52 petang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

"Polis yang menjalankan siasatan kes itu turut menjumpai rantai yang diragut suspek terbabit.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga kes dadah, dua samun dan satu Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 41(1)" Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: