Kompaun RM250 merokok di tempat makan berkuat kuasa Rabu ini!

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula Rabu ini, individu yang merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun bagi mereka yang melakukan kesalahan pertama, kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

Menurutnya, bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan manakala kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Beliau berkata, pemilik premis harus memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta kemudahan lain untuk merokok.

"Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pemilik premis hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Katanya, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 bermula Rabu ini berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Kementerian Kesihatan telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan dan diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat perkhidmatan berhenti merokok, mQuit, yang disediakan.

Katanya, khidmat itu disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau mana-mana kemudahan perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberi akreditasi.

"Mereka juga boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang KKM atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut," katanya. - Bernama