26,401 OKU di Johor terima bantuan JKM

Cai Tung (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang tidak mampu berjalan untuk menerimanya di Dewan Taman Molek di sini semalam.
Cai Tung (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang tidak mampu berjalan untuk menerimanya di Dewan Taman Molek di sini semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 26,401 orang kurang upaya (OKU) di negeri ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM12.82 juta bagi tahun 2019.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, bantuan itu membabitkan beberapa elaun antaranya Elaun Pekerja Cacat, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Elaun Khas OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan sebagainya.

"Sementara itu, YPKDT (Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim) melalui Unit Pembangunan OKU pada tahun ini telah mengadakan kursus seperti baik pulih gajet, urutan dan penjagaan kediaman melibatkan seramai 50 peserta.

"Melalui program ini, seramai lima OKU telah berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jejak@MARI Golongan Sasar OKU yang diadakan di Dewan Taman Molek di sini semalam.

Cai Tung berkata, YPKDT juga menyerahkan bantuan peralatan kepada 10 OKU dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan lebih baik.

Katanya, bagi tahun 2020, YPKDT akan memberi tumpuan kepada penganjuran kursus yang mempersiapkan golongan OKU dalam mencari pekerjaan.

"Antara kursus tersebut adalah perusahaan dobi, bakeri dan pastri, baik pulih gajet dan baik pulih komputer.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan program seperti ini akan dapat melahirkan lebih ramai OKU yang berdaya saing dan mampu terlibat secara langsung dalam meningkatkan ekonomi negara," katanya.