X

Kindly register in order to view this article
!

Autisme bukan halangan untuk berjaya

Farid menunjukkan kek tular RM10 yang sering menjadi pilihan pelanggannya.
A
A

KOTA BHARU - Seorang penghidap autisme membuktikan kekurangan dimiliki bukan alasan untuk ketinggalan berbanding mereka yang normal apabila dia bergerak ke hadapan dengan pembukaan syarikat sendiri dalam bidang pembuatan kek dan roti.

Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan, 21, yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) sejak kecil itu membuktikan keupayaannya untuk terus berjaya, sekali gus menidakkan pandangan serong masyarakat bahawa dia bergantung harap kepada keluarga semata-mata.

Berkat kesungguhan meminati dunia pembuatan kek dan roti, pemegang Sijil Asas Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang itu telah melangkah jauh ke depan dengan pembukaan Farids Trading selain mempunyai bengkel pembuatan kek sendiri yang terletak bersebelahan kediamannya.

Bengkel tersebut merupakan sumbangan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kelantan dan sudah pun setahun dibina sejak awal Januari tahun ini.

"Saya orang biasa saja. Saya suka tolong orang. Saya suka masak kek dan roti. Jadi, saya mesti tolong orang melalui cara penjualan kek ini.

"Sebelum ini saya risau dan takut untuk buat semua ini tapi ALLAH beri saya kekuatan dan kini saya tidak akan pusing belakang lagi. Saya mahu terus maju ke depan dan bantu mereka yang seangkatan dengan saya untuk sama-sama belajar buat kek dan roti," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Farid yang pernah dianugerahkan Usahawan Khas Kolej Komuniti itu berkata, untuk tahun 2020, dia akan melaksanakan satu program iaitu 'Senyum' yang mana ia akan melibatkan 'crowd funding' daripada orang ramai dengan manfaatnya kembali kepada masyarakat.

"Konsep 'Senyum' ini ialah mana-mana pihak, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyerahkan sumbangan mereka untuk saya buat kek dan roti dan diberikan kepada golongan asnaf, anak yatim dan orang kurang berkemampuan.

"Sebelum ini pun, saya pernah tengok ada orang miskin tidak pernah makan kek dan sebagainya. Jadi saya rasa dengan cara ini, saya boleh bantu mereka.

"Dalam masa yang sama, saya pun akan ajak rakan-rakan autisme yang lain untuk sama-sama membantu dalam pembuatan kek dan roti tersebut," katanya.

Menerusi program 'Senyum' itu, Farid menyediakan kek dan roti yang hanya berharga RM10 sahaja dan mana-mana pihak boleh berurusan terus dengannya melalui laman sosial Facebook miliknya.

"Farid boleh buat kek coklat, kek pisang, kek marbel, kek viral (RM10), roti kacang, roti kaya, roti ayam lada hitam, roti kari ayam dan kari daging," katanya.