Beri skim galakan cukai kepada peniaga

Gambar hiasan -Foto 123RF
Gambar hiasan -Foto 123RF
A
A
A

KEPUTUSAN Kementerian Sumber Manusia(KSM) yang memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran mulai 1 Januari 2020 mencetuskan pelbagai pandangan berbeza.

Selain itu, kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan bagi selain daripada wilayah bandar utama juga dipertikaikan sesetengah pihak.

Bagi pihak majikan, keputusan yang dibuat kerajaan itu tidak boleh diterima kerana ia selain menyusahkan golongan majikan, malah ia akan mendatangkan manfaat kepada pekerja warga asing.

Ramai majikan mendakwa mereka belum bersedia dengan pengumuman kerajaan yang dibuat secara mengejut itu. Mereka turut menganggap pelaksanaan mulai 1 Januari depan itu hanya menguntungkan segelintir pekerja dan pengusaha syarikat.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya akan bersama-sama dengan beberapa persatuan majikan untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar meminta kerajaan mengkaji semula keputusan KSM itu.

Beliau berkata, keputusan KSM itu tidak selaras dengan pembentngan Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana dalam Belanjawan 2020, hanya 15 bandar utama yang akan memperoleh gaji minimum sebanyak RM1,200.

Meninggikan gaji minimum kepada pekerja sememangnya satu keputusan yang berat dipikul oleh golongan majikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sedang meleset.

Pembayaran lebih gaji kepada pekerja sudah pasti akan meningkatkan kos operasi kepada syarikat. Keputusan itu secara langsung akan menyebabkan pihak majikan melakukan penjimatan kos sehingga ada yang terpaksa bertindak mengurangkan jumlah pekerja.

Artikel Berkaitan:

Agak mendukacitakan sekali pengumuman gaji minimum itu dibuat terlalu terdesak. Kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan peniaga terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

Pemilihan KSM yang menyenaraikan beberapa daerah sebagai bandaraya utama juga dipertikaikan golongan majkan. Contohnya, Alor Setar, Kuala Terengganu dan Miri yang diletakkan sebagai bandar utama dengan Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Johor Bahru boleh dipertikaikan pelbagai pihak.

Oleh itu, pihak kerajaan sepatutnya mengambil masa yang lebih panjang seperti mengadakan lebih banyak dialog dengan pihak persatuan peniaga sebelum melaksanakannya.

Kerajaan selain itu juga boleh memberikan skim galakan cukai kepada majikan agar membolehkan kos operasi dikurangkan pada tahap minimum. Dengan langkah sedemikian, ia mampu meningkatkan produktiviti serta persaingan di samping mengurangkan beban kenaikan gaji kepada pekerja.