Pahang utamakan pembangunan lestari

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini, kita dikejutkan dengan kekecohan berlaku di pusat peranginan Cameron Highlands apabila 60 pekebun sayur diarah mengosongkan kawasan tanah di Kuala Terla yang diterokai secara haram.

Beberapa pemimpin termasuk Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Arumugam AV Pillai meletak jawatan serta- merta kerana kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwanya menindas pekebun yang sudah mendiami kawasan itu sejak puluhan tahun.

Malah, pengusiran itu juga disifatkan tidak adil kerana tidak disediakan kawasan alternatif kepada pekebun sayur berkenaan meneroka tanah di situ sejak hampir empat generasi.

Walaupun ramai berpendapat tindakan kerajaan Pahang seperti menindas golongan bawahan, namun jika dilihat dari sudut negatif sudah acap kali bencana alam berlaku di tanah tinggi itu.

Banyak kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang tahun dan terbaru dilaporkan di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Oktober lalu.

Kejadian membabitkan laluan Jalan Persekutuan FT 185 sepanjang 100 meter (m) dengan kedalaman 20 m yang dikesan, walaupun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Seterusnya, runtuhan dianggarkan setinggi 15 m dan 10 m panjang berlaku berhampiran kawasan kebun di Jalan Ulu Merah, Ringlet pada Mei lalu.

Pada tahun lalu, tiga nyawa terkorban apabila rumah kongsi didiami keluarga warga asing tertimbus dalam tragedi tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

Walaupun mangsa bukan warganegara, tetapi rasa sedih tetap ada, lebih lagi mengenangkan nasib pasangan suami isteri dan seorang lagi individu yang maut dalam tragedi yang berlaku ketika mereka sedang tidur.

Berdasarkan maklumat, pondok didiami mangsa, pekebun warga Myanmar di lokasi tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Kuala Terla itu didirikan di kawasan tidak sah, iaitu di bawah cerun curam. Kenapa ini boleh berlaku?

Selain itu, bencana banjir lumpur dan tanah runtuh di Ringlet dan Lembah Bertam pada November 2014 juga wajar dipahat dalam ingatan, manakala tragedi sama setahun sebelum itu juga tidak harus dilupakan kerana kedua-duanya menyebabkan nyawa terkorban dan kemusnahan teruk.

Tragedi demi tragedi berlaku menyebabkan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada ketika itu mengarahkan penerokaan tanah haram untuk aktiviti pertanian di seluruh Cameron Highlands dihentikan.

Tidak terhenti di situ sahaja, Anakandanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga prihatin terhadap isu alam sekitar apabila baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla.

Dalam kunjungan sulung ke tanah tinggi itu baginda bertitah agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat dalam Mukim Ulu Terlom.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencerobohan tanah itu menyebabkan Sungai Ichat yang merupakan sumber air bagi Loji Air Kuala Terla, selain Sungai Terla bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah berisiko memudaratkan orang ramai.

Penulis percaya teguran dan titah Al-Sultan Abdullah mendorong kerajaan Pahang yang ditadbir Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil inisiatif merancang pembangunan lestari di negeri itu khusus di Cameron Highlands.

Kerajaan Pahang sudah mengambil beberapa langkah penting memastikan perancangan pembangunan mampan dan lestari di kawasan tanah tinggi itu.

Antara keputusannya ialah semua 78 hak milik tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini melibatkan kawasan seluas 5,519 hektar diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang.

Wan Rosdy berkata, PSK akan menyewakannya dan pekebun yang berhasrat disyaratkan memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dari Jabatan Pertanian sebelum kebenaran diberikan.

"Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat kerajaan negeri iaitu Pahang Corporation Sdn Bhd telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerja mengawal selia aspek pematuhan kepada kriteria ditetapkan MyGAP," katanya.

Wan Rosdy berkata, bagi menjamin pengurusan cerun lebih cekap, semua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

Menurutnya, penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada jawatankuasa teknikal yang diwakili Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kerajaan negeri juga mengambil keputusan di mana kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar telah diluluskan bagi maksud perwartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac lalu.

"Dalam mesyuarat MMK 17 September lalu pula seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands telah diluluskan bagi maksud perwartaan sebagai kawasan operasi MDCH.

"Sementara itu, Hutan Simpanan Kekal Batu Gangan, Hutan Simpanan Kekal Batu Gangan Tambahan, Hutan Simpanan Kekal Hulu Ichat dan Hutan Simpanan Kekal Sungai Terla B seluas 2,289.62 hektar diwartakan sebagai Taman Negeri," katanya.

Beliau berkata, pasukan task force ditubuhkan bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan rizab sungai.

"Saya berharap dengan langkah jitu dan padu ini akan dapat mengembalikan kegemilangan dan kelestarian Cameron Highlands," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen tinggi untuk terus berusaha bagi memelihara dan memulihara serta membangunkan kawasan tanah tinggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

"Komitmen ini diberikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan saya sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen pada 9 Disember lalu.

"Justeru, bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH)," katanya.

Katanya, enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Negeri Pahang (Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke-14) pada 22 November 2019.

"Selain berperanan untuk mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrastruktur, kediaman dan pertanian di daerah tanah tinggi itu," katanya.

Bukti kerajaan Pahang mahu melestarikan kawasan Cameron Highlands kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar) diwartakan pensebagai Hutan Simpan Sungai Ichat, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019.

Seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands juga telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September 2019.

Tambahan kepada itu, pengwartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B yang seluas kira-kira 2,289.62 hektar (kira-kira 5,657.77 ekar) sebagai Taman Negeri.

Langkah ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Pahang untuk mengembalikan kegemilangan Cameron Highlands sambil menjamin kelestariannya, sekaligus menyelamatkan tanah tinggi itu dari menjadi 'padang jarak padang terkukur'.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Edisi Pahang