Bekalan air terputus 16 jam di Muar bermula pagi ini

Gambar Hiasan
A
A

MUAR- Beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air selama 16 jam bermula pagi ini.

Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) dalam satu kenyataan berkata, gangguan sumber berkenaan berlaku ekoran kerja-kerja penyambungan paip baharu yang dijalankan bertujuan meningkatkan mutu perkhidamatan bekalan air.

“Dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di kawasan anda, kerja penyambungan paip baharu, tee off dan interconnection akan dilakukan.

“Justeru itu, gangguan bekalan air tidak dapat dielakkan pada hari ini bermula jam 9 pagi sehingga jam 1 pagi nanti iaitu tempoh selama 16 jam,” katanya.

Katanya, kawasan terlibat adalah selurut kawasan di Jalan Muar sehingga Pagoh iaitu bermula dari Kampung Paya Panjang sehingga ke Pekan Pagoh yang turut meliputi Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Kawasan Perindustrian Pagoh serta Bandar Universiti Pagoh.

“Selain itu, Jalan Pagoh-Gombang bermula dari Pekan Pagoh hingga ke Kampung Paya Limpah turut mengalami gangguan. Kawasan lain pula membabitkan di sebelah kanan jalan Bakri iaitu bermula dari simpang Jalan Haji Kosai sehingga ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri yang turut menjejaskan Kampung Parit Ulu, Maktab Teknik PDRM Bakri sehinggalah ke Parit Zin dan Parit Nor.

“Pekan Bakri sehingga ke Yong Peng iaitu Batu 20 Sempadan Batu Pahat juga terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bagi Jalan Temenggong Ahmad di sebelah kanan pula membabitkan Parit Bakar sehingga ke Parit Kassim dan sebelah kiri iaitu Jalan Abdul Rahman membabitkan kawasan Parit Unas hingga pantai Parit Jawa.

“Manakala di Jalan Muar sehingga ke Semerah membabitkan Seri Menanti, Sungai Balang dam kawasan sekitarnya. Laluan yang terlibat ini akan memberi kesan kepada kampung di sepanjang jalan yang dinyatakan termasuklah di kawasan perumahan.

“Kita harap penduduk dapat mengambil langkah persediaan atau merancang tindakan bagi sepanjang tempoh ketiadaan air. Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Talian Aduan Bebas Tol di

1 800 88 7474, atau SMS 0197727474 dan boleh email di [email protected],” ujarnya.